Prof. Solehah Tampil Jelaskan Dakwaan “Bangsa Rom Belajar Bina Kapal daripada Orang Melayu”

KUALA LUMPUR, 10 Nov 2025 – Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Solehah Yaacob, menjelaskan bahawa kenyataannya mengenai hubungan antara tamadun Melayu dan Rom dalam bidang maritim telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Menurut beliau, hasil kajian berpaksikan sumber Arab klasik menunjukkan kemungkinan bangsa Rom memperoleh sebahagian pengetahuan pembinaan kapal daripada tamadun maritim yang lebih awal, termasuk dunia Melayu.

“Tidak seperti bangsa Eropah yang berbudaya benua, orang Melayu mengungguli tamadun maritim melalui kecekapan dalam ilmu pelayaran dan pembinaan kapal, sehingga menjadi antara penguasa lautan terawal dalam sejarah manusia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Prof. Solehah berkata, penjelasan itu dibuat bagi menjernihkan kekeliruan dan serangan di media sosial berikutan syarahan umum beliau di Gombak Setia pada 31 Disember 2022 yang dilaporkan secara sensasi dengan tajuk seperti “Orang Rom Belajar Membina Kapal daripada Orang Melayu.”

Beliau menegaskan, kerajaan Rom hanya mula aktif dalam aktiviti maritim antarabangsa selepas menakluki Mesir pada tahun 31 Sebelum Masihi. Sebelum itu, pelayaran mereka terbatas dan mereka tidak memiliki keupayaan membina kapal jarak jauh.

Jelasnya, pemindahan ilmu maritim daripada Alam Melayu kepada tamadun lain mungkin berlaku melalui hubungan perdagangan dan pelayaran merentasi lautan, kerana bahan mentah seperti kayu di Eropah ketika itu tidak sesuai untuk kapal jarak jauh.

Prof. Solehah turut merujuk kepada beberapa sumber Arab yang menyebut tentang kawasan al-Qal’a, dipercayai terletak di Kedah purba, yang terkenal sebagai pusat peleburan besi berkualiti tinggi — bahan penting bagi bangsa Rom, Viking dan Slav dalam pembuatan senjata.

“Tidak mustahil bangsa Rom mendapatkan khidmat pelayar berpengalaman dari Mesir, India atau bahkan Alam Melayu untuk membimbing mereka ke kawasan penghasilan besi Qal’a,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut berasaskan hipotesis penyelidikan akademik yang dibina hasil kajian mendalam sejak beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) pada tahun 2005.

“Sejarah menunjukkan pelayaran maritim utama pertama dalam sejarah manusia berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s., dan bangsa Melayu berkemungkinan termasuk antara pelayar awal pasca peristiwa banjir besar tersebut,” katanya.

Prof. Solehah menambah bahawa sebagaimana bangsa Rom meminjam sistem tulisan daripada Yunani dan Fenesia, pengaruh teknologi maritim Melayu terhadap tamadun Mediterranean juga tidak boleh diketepikan.

“Kemajuan sesebuah tamadun tidak berlaku secara terasing, sebaliknya hasil interaksi dan pertukaran ilmu antara bangsa-bangsa besar dunia — termasuk bangsa Melayu,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share