
ALOR SETAR | 26 Mei 26 — PAS menegaskan sebarang keputusan melibatkan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) tidak dibuat secara terus dalam mesyuarat gabungan, sebaliknya perlu dibawa semula ke peringkat parti untuk dimuktamadkan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses tersebut sudah menjadi amalan PAS sejak berada dalam beberapa gabungan politik sebelum ini termasuk ketika bersama Pakatan Rakyat.
Menurut beliau, wakil PAS dalam mesyuarat PN hanya hadir untuk berbincang dan berunding sebelum sesuatu perkara diputuskan oleh parti melalui Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.
“Kita pergi bincang, runding. Mana yang tak selesai, bawa balik kepada parti untuk dibincang di peringkat parti, diambil keputusan dan dibawa semula ke mesyuarat akan datang.
“Itu proses yang berlaku dalam mana-mana gabungan yang PAS sertai,” katanya kepada Kedah Online.
Sanusi berkata, PAS terikat dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang menentukan polisi dan dasar parti, selain keputusan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
“Kita diikat dengan keputusan Majlis Syura yang menentukan polisi dan hukum-hakam.
“Sebab itu prinsip kita jelas dan kukuh. PAS tetap PAS. Kita tak buang baju PAS dan pakai baju PN dan buat ikut suka hati,” katanya.
Beliau turut mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menarik balik akuan bersumpah (SD).
Menurutnya, perkara tersebut bukan keputusan yang dipersetujui PAS dalam mesyuarat PN, sebaliknya hanya dimaklumkan sebagai penjelasan daripada BERSATU.
“Kita dimaklumkan dua ADUN BERSATU tarik SD kerana Biro Politik BERSATU buat keputusan itu.
“Jadi PAS tidak buat persetujuan terhadap langkah itu. Kita tidak ‘endorse’ tindakan itu,” katanya.
Sanusi berkata, tindakan menarik balik SD tanpa rundingan lebih awal memberi implikasi besar kepada hubungan dalam gabungan berkenaan.
“Lima orang bagi SD, tiba-tiba BERSATU tarik dua orang tanpa perundingan.
“Kononnya sebab UMNO nak tarik balik SD, tetapi sampai hari ini UMNO pun tak tarik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan PAS dan BERSATU merupakan pendirian rasmi parti selepas dibincangkan dalam organisasi PAS.
“PAS jarang cakap terbuka pasal perkara ini. Presiden PAS sudah beri pandangan dan itulah pendirian parti.
Hubungan PAS dan BERSATU kebelakangan ini dilihat tegang selepas Abdul Hadi dilaporkan menyatakan PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa tidak menghormati semangat setiakawan dalam PN. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.