
KUALA LUMPUR | 15 Sep 26 – Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa menjadikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebagai contoh ahli politik yang menurutnya konsisten mempertahankan prinsip tanpa mengira sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang.
Menurut Zai, politik Malaysia perlu keluar daripada budaya “recycle men”, iaitu individu yang sama terus berpindah atau bertukar parti tanpa membawa perubahan yang benar-benar bermakna kepada landskap politik negara.
“Kita tidak mahu parti men semata-mata. Kita nak pada yang akan datang ini, kalau boleh parti-parti politik ini sebahagiannya ada kata 60% daripada parti men, 20% daripada ahli teknokrat, ahli keuangan, pakar, akademia dan sebagainya. 20% kepada NGO,” katanya dalam podcast Politikopi bertajuk “Hala Tuju Politik Malaysia”, Sabtu lalu.
Beliau turut mencadangkan agar golongan aktivis turut diberi ruang dalam politik, termasuk aktivis jalanan seperti Syamri Raif yang menurutnya mempunyai peranan tersendiri dalam membawa suara masyarakat.
Dalam pada itu, Zai memuji pendekatan Hassan yang menurutnya tetap bercakap berdasarkan prinsip yang sama tanpa mengira kedudukan politiknya.
“Jadi kita nak satu contoh peranan yang dimainkan oleh MP Pasir Gudang, Hassan Karim. Dia tidak kira sama ada dalam kerajaan ataupun luar kerajaan, dia bercakap soal prinsip yang sama. Kalau do, do. Don’t, don’t. You tak boleh buat whatever saya dalam kerajaan ataupun bukan kerajaan, saya mesti bercakap soal prinsip.” Ujarnya.
Zai berkata pendekatan sedemikian penting kerana ahli politik yang berada di Parlimen dan terlibat menggubal polisi serta dasar perlu berteraskan prinsip, bukannya semata-mata kepentingan parti atau kedudukan politik.
Beliau berkata prinsip berkenaan perlu berpandukan kerangka sejarah, Perlembagaan serta perkara yang telah termaktub supaya ahli politik tidak melanggar batas asas dalam sistem negara.
“Ini mesti kita jadikan framework supaya kita tidak langgar lampu merah-lampu merah yang ada di persimpangan. Kalau kita langgar, habis semua,” katanya.
Menurut Zai, pembaharuan politik yang diperlukan Malaysia bukan sekadar pertukaran individu atau parti, tetapi perubahan terhadap cara politik dibentuk dan dasar negara digubal dengan memberi ruang lebih besar kepada kepakaran serta suara masyarakat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.