
KUALA LUMPUR | 26 Mei 26 — Seorang aktivis media, Fais Al-Hajari atau lebih dikenali sebagai Papa Berry, berpandangan kelompok yang sering dikaitkan sebagai “geng Reset” dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat lebih menonjol dalam beberapa gerakan pembangkang kebelakangan ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata pemerhatiannya dibuat berdasarkan pengalaman sendiri sepanjang menjalankan kerja-kerja kewartawanan dan liputan politik.
Menurut Fais, individu yang dikaitkan dengan kumpulan “Reset” lebih kerap hadir menyambut memorandum, mengadakan sidang media serta terlibat dalam tindakan mahkamah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberi contoh bantahan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang menurutnya disertai beberapa pemimpin BERSATU daripada kelompok tersebut.
“Ketika kami hadir hantar memorandum bantah URA dulu, yang turun sambut memorandum selain pimpinan PAS ialah Rosol Wahid, Mas Ermieyati, Wan Ahmad Fayhsal dan beberapa lagi individu yang dianggap geng Reset,” katanya.
Beliau turut mendakwa tindakan saman terhadap Anwar berkaitan isu keabsahan perjanjian ART juga melibatkan beberapa pemimpin yang sama termasuk Datuk Rosol Wahid, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Fathul Huzir Ayob.
Selain itu, Fais berkata sidang media di Parlimen juga kebanyakannya digerakkan oleh pemimpin yang sering dikaitkan dengan kem “Reset”.
Menurutnya, antara nama yang kerap dilihat aktif berhujah di Parlimen ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Wan Saiful Wan Jan, Mas Ermieyati dan Mejar Khlir Mohd Nor.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kenyataan itu dibuat berdasarkan pemerhatian peribadi sebagai pengamal media dan bukan bertujuan merendahkan mana-mana pihak dalam BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.