
KUALA LUMPUR | 26 Mei 26 — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa negara-negara Islam bersatu menolak hegemoni Amerika Syarikat susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu lebih banyak negara menandatangani Abraham Accords bagi mengiktiraf Israel.
Bekas Menteri Luar itu berkata, usaha tersebut dilihat sebagai cubaan Amerika Syarikat untuk terus mengukuhkan dominasi kuasa globalnya.
“Saya membaca dengan penuh kebimbangan kenyataan terbaru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyatakan hasrat untuk menekan lebih banyak negara supaya menandatangani Abraham Accords untuk mengiktiraf Israel.
“Langkah ini tidak lebih daripada cubaan terselindung Amerika Syarikat untuk meneruskan hegemoni dan mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar tunggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Saifuddin, masyarakat antarabangsa perlu berdiri teguh bagi menghalang apa yang disifatkannya sebagai pemaksaan kuasa secara unilateral.
Beliau turut mendakwa jika pengiktirafan terhadap Israel dijadikan sebagai “pertukaran” untuk mencapai perjanjian damai dengan Iran, ia membuktikan dunia tidak lagi boleh mempercayai Amerika Syarikat.
“Era dunia unipolar sudah berakhir. Sudah tiba masanya untuk sebuah aturan dunia baharu yang menolak hegemoni dan menekankan kemakmuran bersama secara adil untuk semua negara tanpa mengira saiz,” katanya.
Dalam masa sama, Saifuddin menyifatkan kenyataan Trump yang dibuat menjelang Hari Wukuf sebagai tidak sensitif dan menghina umat Islam di seluruh dunia.
Sehubungan itu, beliau menyeru negara-negara Islam memperkukuh kerjasama, menyatukan sumber dan strategi serta membina pakatan bersama negara-negara lain yang sehaluan demi mempertahankan keadilan dan multilateralisme sebenar.
Beliau turut mengajak umat Islam sempena Hari Wukuf mendoakan keamanan, kesejahteraan dan kebebasan umat Islam di seluruh dunia termasuk rakyat Palestin dan Rohingya yang terus berdepan penindasan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.