
KUALA LUMPUR | 3 Sep 26 – Kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Munim, yang menyifatkan tindakan kementerian berbelanja melebihi peruntukan sebagai “besar pasak daripada tiang” mengundang reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan sebelum ini berkata perbelanjaan melebihi peruntukan yang ditetapkan adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara. Kenyataan itu dibuat susulan penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, mengenai perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar.
Akmal bagaimanapun mempertikaikan hujah berkenaan dengan menegaskan bahawa setiap projek pembangunan kementerian perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF), termasuk penelitian terhadap kemampuan kewangan kerajaan.
Katanya, kementerian pelaksana tidak boleh berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan MOF dan sekiranya berlaku perbelanjaan melebihi jumlah asal yang diperuntukkan, perkara itu juga perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu.
“Jika ada perbelanjaan yang melebihi jumlah yang diperuntukkan sekalipun, ia mesti dan telah mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan terlebih dahulu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Akmal turut memberi contoh Kementerian Pendidikan pada 2024, yang menurutnya menerima peruntukan RM58.726 bilion tetapi membelanjakan RM59.871 bilion.
Sehubungan itu, beliau menegaskan isu yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukan mengenai kementerian berbelanja sesuka hati melebihi peruntukan.
Sebaliknya, menurut Akmal, persoalan sebenar ialah mengapa projek yang telah dipohon dan mendapat kelulusan MOF masih berdepan masalah peruntukan tidak sampai kepada KKDW.
“Isunya adalah projek yang dipohon dah dapat kelulusan Kementerian Kewangan, tetapi peruntukan tidak sampai ke KKDW. Itu isunya,” katanya.
Pertikaian itu timbul selepas Johan menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap peruntukan KKDW dan peruntukan bagi projek jalan luar bandar telah disalurkan sepenuhnya, namun KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen serta berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan.
Johan turut memaklumkan bahawa MOF telah meluluskan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor, selain sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung lebihan komitmen KKDW.
Justeru, pertikaian antara Akmal dan Kamil kini tertumpu kepada persoalan yang lebih asas: adakah masalah bayaran kepada kontraktor berpunca daripada KKDW berbelanja melebihi peruntukan, atau daripada mekanisme peruntukan bagi projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan?
Jawapan kepada persoalan itu penting bagi menjelaskan siapa sebenarnya bertanggungjawab terhadap jurang antara projek yang telah diluluskan, komitmen yang telah dibuat dan peruntukan yang tersedia untuk membayar kerja yang sudah dilaksanakan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.