“Hamzah Guna PAS, UMNO dan Istana Untuk Pecah-Belahkan Parti” — Dakwa Orang Kuat Muhyiddin

KUALA LUMPUR | 28 Mei 26 — Orang kuat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendakwa Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan nama PAS, UMNO dan Istana sebagai “modal politik” dalam gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden BERSATU itu.

Dalam satu kenyataan panjang di media sosial, Marzuki menolak dakwaan kononnya Hamzah menjadi mangsa kerana mahu menyatukan orang Melayu.

Sebaliknya, beliau mendakwa tindakan Hamzah sebenarnya bertujuan mengambil alih jawatan Presiden BERSATU dan seterusnya menjadi Pengerusi Perikatan Nasional tanpa perlu bertanding secara terbuka.

“Hamzah menggunakan PAS, UMNO dan Istana sebagai modal untuk pecah-belahkan parti. Tujuannya satu sahaja. Supaya jawatan Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional diserahkan kepadanya di atas dulang emas,” katanya.

Marzuki turut mendakwa Hamzah mula menjalankan gerakan menjatuhkan Muhyiddin sebaik sahaja disahkan sebagai Timbalan Presiden BERSATU.

Menurut beliau, Hamzah tidak melawan Muhyiddin dalam pemilihan parti kerana menyedari sokongan akar umbi terhadap Presiden BERSATU itu masih kuat.

Sebaliknya, beliau mendakwa Hamzah memilih laluan lebih mudah dengan mendapatkan jawatan Timbalan Presiden tanpa bertanding sebelum menggerakkan tekanan dalaman supaya Muhyiddin berundur.

Marzuki juga mendakwa terdapat usaha mempengaruhi Ketua-Ketua Bahagian BERSATU melalui gerakan mengumpul tandatangan bagi mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden.

Antara dakwaan paling menarik perhatian ialah apabila Marzuki mendakwa Hamzah menggunakan naratif kononnya beliau mendapat sokongan Presiden PAS untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau berkata seorang pemimpin kanan PAS telah menafikan penglibatan Presiden PAS dalam gerakan tersebut.

Selain itu, Marzuki turut mendakwa Hamzah menjaja cerita mengenai usaha kerjasama melibatkan BERSATU, PAS dan UMNO untuk membentuk kerajaan, selain dakwaan mempunyai hubungan rapat dengan Istana Negara.

Menurut beliau, semua gerakan itu akhirnya menjadi punca perpecahan dalam BERSATU dan Perikatan Nasional.

“Tebuk atap tak jadi, tapi parti yang pecah,” katanya.

Kenyataan Marzuki dilihat antara serangan paling terbuka dan bersifat peribadi pernah dibuat oleh kem Muhyiddin terhadap Hamzah sejak krisis dalaman BERSATU mula diperkatakan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share