Speaker Perlu Isytihar Kosongkan Kerusi Ahli Parlimen Labuan – Kiandee

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tiada pilihan selain mengisytiharkan kerusi Parlimen Labuan sebagai kosong, kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang mencabar pemecatan automatiknya daripada Bersatu.

“Memandangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan Suhaili, maka jelas alasan yang dijadikan sandaran oleh Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi P.166 Labuan dan menolak permohonan saya dalam surat terdahulu bertarikh 9 Julai 2024, sudah tidak lagi relevan dan terpakai.

“Oleh itu, speaker tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan Persekutuan dengan membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi P.166 Parlimen Labuan untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat ketetapan untuk suatu pilihan raya kecil diadakan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Ronald juga mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Johari berhubung perkembangan terbaharu perkara itu.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan berpihak kepada Bersatu selepas Hakim Nor Hayati Mat mendapati saman Suhaili tidak mempunyai merit.

“Permohonan Bersatu untuk membatalkan saman dibenarkan dan mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM5,000 kepada parti itu,” kata peguam Bersatu, Chetan Jethwani kepada Bernama.

Suhaili adalah salah satu daripada enam ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Okt 2023.

Bersatu kemudian meminda perlembagaan partinya bagi menggugurkan keahlian mana-mana ahli yang melompat parti.

Tindakan itu dijangka akan mengaktifkan peruntukan antilompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menyebabkan kerusi mereka dikosongkan. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share