
JOHOR BAHRU | 29 Mei 26 — Ketua RESET Johor, Datuk Zulkifli Bujang tampil mempertahankan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada dakwaan kononnya terlalu ghairah merebut kuasa dalam BERSATU.
Menurut beliau, jika Hamzah benar-benar mahu merampas jawatan Presiden parti, Ahli Parlimen Larut itu boleh sahaja memilih untuk mencabar Muhyiddin Yassin secara terbuka dalam pemilihan parti sebelum ini.
“Kalau betul Dato’ Seri Hamzah terlalu gila kuasa seperti didakwa, beliau boleh sahaja lawan Presiden BERSATU dalam pemilihan parti dahulu. Laluan terbuka,” katanya di facebook, semalam.
Zulkifli berkata, Hamzah bukan tokoh yang gemar bermain politik persepsi atau mencari pengaruh melalui hubungan elit kuasa, sebaliknya lebih dikenali sebagai individu yang fokus kepada gerak kerja organisasi dan strategi parti.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya Ketua-Ketua Bahagian BERSATU mudah dipengaruhi dengan pelbagai cerita berkaitan “Dubai, Bangkok, Istana dan White House” yang dikaitkan dengan kemelut dalaman parti.
“Kami bukan budak sekolah. Nak anggap semua Ketua Bahagian mudah percaya cerita politik seperti itu sebenarnya menghina intelektual kami sendiri,” katanya.
Menurut beliau lagi, sokongan terhadap Hamzah lahir daripada keyakinan terhadap visi, keberanian serta kemampuan Ahli Parlimen Larut itu membaca realiti politik Melayu semasa.
Dalam masa sama, Zulkifli mendakwa budaya terlalu takut membincangkan soal peralihan kepimpinan dan hala tuju baharu hanya akan menjadikan sesebuah parti defensif serta melihat semua perbezaan pandangan sebagai ancaman.
“Itu punca sebenar perpecahan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan naratif kononnya wujud “grand conspiracy” untuk menjatuhkan kepimpinan parti hanyalah “penyedap cerita politik” di media sosial.
“Beliau sudah dipecat pun. Tetapi kalau nama Hamzah masih disebut siang malam selepas pemecatan, itu menunjukkan siapa sebenarnya masih belum move on,” katanya lagi.
Zulkifli menegaskan rakyat ketika ini tidak lagi mahu melihat politik pergaduhan dalaman parti, sebaliknya mahu pemimpin yang mempunyai pelan, keberanian dan kesungguhan untuk menyatukan kekuatan Melayu-Islam tanpa ego politik berlebihan.
Terdahulu, pegawai Muhyiddin, Marzuki Mohamad dalam status facebook beliau, mendakwa bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan nama PAS, UMNO dan Istana sebagai “modal politik” dalam gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.