Selepas Perang Dunia Kedua, China jatuh ke tangan komunis dan India berada di ambang kemerdekaan. Tetapi komuniti buruh asing ini berkiblat politik mereka kepada negara asal dan perjuangan nasionalisme di Tanah Melayu adalah nasionalisme negara-negara lain.
Setelah orang Melayu dari pelbagai golongan terdiri dari NGO, negeri dan profesional telah protes dan menolak Malayan Union dengan laungan hidup Melayu dan mahukan bangsa Melayu diangkat.
Dalam perjalanan untuk mencapai kemerdekaan, penjajah Inggeris mensyaratkan pendatang asing yang mahu menerima kerakyatan Tanah Melayu mesti memutuskan hubungan politik dengan negara asal mereka, berpatriotik dan taat setia kepada Tanah Melayu.
Dalam rundingan perjanjian Tanah Melayu 1948, Inggeris menolak golongan pelampau Cina dari Parti Komunis Malaya, juga yang ke kanan dari Parti Koumintang dan hanya berhubungan dengan golongan Cina moderat yang lahir di Tanah Melayu dari Persatuan Cina Malaya. UMNO bersama MCA dan MIC telah mengurus pemerintahan dan pembangunan negara ini dari 1951 hingga 2018.
Titik-titik perubahan budaya politik dalam komuniti Cina terserlah dari 1969 apabaila DAP telah mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina di bandar dan menghakis pengaruh MCA dan MIC yang semakin kalah untuk menang di kawasan Parlimen dan DUN dalam pilihan raya. UMNO juga berhadapan dengan kehilangan pengaruh politik apabila dalam tahun 2008 kerajaan BN hilang dua pertiga majoriti di Parlimen.
Pada 2018 Pakatan Harapan membentuk kerajaan Malaysia dan diganti oleh Perikatan Nasional selepas dua tahun memerintah. Namun Pakatan Harapan bersama BN dan parti-parti politik lain dibenarkan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan pada 2022.
Banyak isu-isu panas terjadi semasa Pakatan Harapan memerintah pada 2018 dan Kerajaan Perpaduan kini. Di antara isu-isu itu ada kaitan dengan bangsa Malaysia apabila ciri-ciri pasak bangsa seperti Bahasa Melayu, budaya Melayu, Islam dan raja-raja Melayu dipersoalkan.
DAP dengan ideologi politik bangsa multikulturalisme dengan slogan Malaysian Malaysia menjadi wadah mengugat naratif bangsa Malaysia yang mengangkat undang-undang sivil dan warisan adat, mengurus ketidakseimbangan sosial, mengamal integrasi dipayungi hegemoni kewatanan Melayu, orang Asli, Bumiputera sabah dan Sarawak dan pertumbuhan ekonomi diagihkan dengan naratif multikulturalismenya yang mengangkat undang hak asasi dan kebebasan, kesamaratan, bangsa multikuturalisme dan ekonomi pasaran dalam mengurus negara.
Kemelut politik berlaku kini adalah perjuangan politik DAP hendak menghidupkan matlamat Inggeris melalui Malayan Union yang mahu memusatkan kuasa pemerintahan, menghapuskan kuasa raja dan beri kerakyatan samarata hak rakyat dilaksanakan.
Melihat perjalanan Sejarah negara kita, penjajahan fisikal sudah berakhir dengan kemerdekaan 1957. Tetapi ilmu kolonial tidak putus kerana ia adalah satu struktur, dinamik yang mengekalkan kuasa penjajahan mereka dan bergerak bukan sebagai satu insiden tetapi merubah kulit penjajahan mereka untuk memastikan mengaut keuntungan ekonomi dan sumber alam di negara-negara anak jajahan berlaku.
Diperhatikan tindakan negara anak jajahan baru merdeka untuk menyahkan penjajahan gagal untuk membina jati diri, maruah diri dan identiti bangsa mereka. Pengaruh penjajah menjelma melalui neokolonialisme di mana ekonomi, pendidikan, bahasa dan budaya dikuasa bekas negara penjajah melalui pelaburan sistem kapitalis sedunia dengan muka imperialis dan berideologi rasis white supremacy.
Neokolonialisme adalah pergerakan dari luar ke dalam negara-negara anak jajahan tetapi yang menakutkan anak-anak watan masih didapati terjajah dan berterusan kerana kuasa penjajah telah mendarahdagingkan melalui kolonialiti terutama dalam kalangan elit politik, ekonomi dan NGO yang memakai bertopeng putih di muka sawa matang, kuning dan hitam mereka.
Rakyat anak-anak jajahan terperangkap dalam kolonialiti kuasa penjajah hingga bekas negara penjajah masih berkuasa ke atas ketenteraan, dasar luar, hala tuju pemerintahan dan pembangunan negara itu. Begitu juga dengan kolonialiti ilmu yang memerangkap anak-anak jajahan yang dihalang dari mengangkat ilmu tempatan mereka.
Barat mentakrifkan ilmu, pemerintahan dan pembangunan mereka sebagai standard berdasar ilmu saintifik dan teknologi sedunia. Pendekatan ilmu dan peradaban positivisme ini akhir hilang nilai ilmu diganti dengan ilmu sebagai ilmu komersial dan peradaban material semata-mata.
Manakala kolonialiti kenderi telah menunjukkan anak-anak watan hilang jati diri, maruah dan identiti bangsa mereka, mereka hidup dalam kemiskinan dan kepinggiran, diasak dengan politik rasis yang mewarna wacana politik dan yang memerintah hilang arah hingga memegang jawatan awam menjadi lubuk untuk kumpul harta dan menindas lawan politik mereka.
Kerajaan semakin hilang integriti melalui salah guna kuasa serta rasuah, pembangunan negara tersasar hingga kebajikan rakyat terkorban dan pertukaran kerajaan akan berlaku oleh kerana kerajaan sedang menuju sebuah negara gagal.
Negara anak-anak jajahan mewarisi pemodenan dan peradaban dari barat yang tercela hingga lahir kemelut politik, ekonomi dan sosial dalam kalangan negara-negara ini.
Rakyat yang partiotik dan taat setia kepada Malaysia perlu bangkit untuk membina jati diri bangsa Malaysia, menggali lapisan sejarah dan warisan kepelbagaian peradaban yang membentuk warisan kebangsaan dari Alam Melayu hingga kini.
Ilmu tempatan dan kewatanan yang diremehkan kuasa penjajah barat perlu dibina dan dirujuk kembali terutama dalam naratif sejarah, nilai keinsanan, budaya, pemerintahan dan pengurusan masyarakat yang dipayungi peradaban Alam Melayu dalam masyarakat kepelbagaian.
Wacana bangsa Malaysia tidak boleh disempitkan dengan kepentingan dengan sentimen etnosentrik satu kumpulan sahaja tetapi melangkau dan mendakap bersama kepelbagaian yang menjadi lapisan sejarah dan warisan kebangsaan kita.
Multikulturalisme tiada tempat dalam meneroka aspirasi bangsa Malaysia. Negara-negara barat juga sudah sedar politik bangsa multikulturalisme membawa perpecahan dalam negara mereka.
Kita perlu sedar bersama tanpa mengira golongan dan kumpulan etnik, hujahan yang memecah belah adalah kesinambungan ilmu penjajah dari penjajahan dan neokolonial hingga kita tidak sedar yang kita menjadi lidah dan tangan rasmi penjajah yang telah didarahdagingkan melalui kolonialiti yang dikuasai barat, ilmu barat dan jati diri kita dihinakan.
Para-para cendikiawan, elit ekonomi, politik dan NGO perlu menjadi pemimpin dan penggerak mengembalikan jati diri, maruah dan identiti bangsa kita bersama dan menyahkan pengaruh kuasa penjajah yang masih membelenggu kita hingga kini.
Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut kajian Etniki (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.