Wan Saiful Sahkan Parti Baharu Akan Diumum Jun Ini

KUALA LUMPUR | 30 Mei 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan sebuah parti politik baharu yang sedang digerakkan bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka diumumkan dalam masa terdekat, dengan sasaran pelancarannya sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat yang bermula pada Jun ini.

Menurut beliau, persiapan ke arah pelancaran parti tersebut kini berada di peringkat akhir termasuk penelitian terhadap perlembagaan dan struktur organisasi bagi memastikan ia benar-benar memenuhi matlamat yang telah ditetapkan.

“Kita sedang mengkaji masa yang terbaik untuk mengumumkan pelancaran parti. Sasaran asal adalah sekitar pertengahan Jun, namun saya tidak mahu memberikan komitmen yang terlalu spesifik kerana beberapa faktor boleh menyebabkan perubahan tarikh,” katanya dalam ucapan di Majlis Ramah Mesra Aidiladha RESET Negeri Sembilan, Port Dickson, semalam.

Wan Saiful berkata, penangguhan pengumuman sebelum ini dibuat atas pertimbangan tertentu yang dianggap munasabah oleh kepimpinan gerakan berkenaan.

Beliau menjelaskan parti itu lahir daripada Gerakan RESET yang diasaskan sebagai gerakan rakyat bagi menghimpunkan rakyat pelbagai latar belakang untuk memperbaiki keadaan negara.

Katanya, gerakan tersebut berpaksikan tiga prinsip utama iaitu matlamat bersama rakyat Malaysia (common goals), kemakmuran bersama (shared prosperity) dan tadbir urus berperikemanusiaan (compassionate governance).

Dalam masa sama, Wan Saiful mendedahkan parti baharu itu dirangka untuk menjadi jambatan penghubung antara pendekatan “rumah bangsa” dan “payung besar” yang sering menjadi perdebatan dalam politik Melayu ketika ini.

Menurutnya, kedua-dua pendekatan tersebut mempunyai matlamat yang sama iaitu menyatukan rakyat dan membina kekuatan politik yang lebih stabil, justeru parti baharu itu mahu memainkan peranan sebagai titik pertemuan kepada kedua-dua gagasan berkenaan.

“Kehendak kita ialah seboleh-bolehnya meletakkan parti ini sebagai jambatan yang boleh menyatukan. Apabila kita bentuk satu pasukan, ia menjadi satu ketumbukan yang benar-benar kuat dan stabil,” katanya.

Beliau berkata parti tersebut akan ditunjangi oleh orang Melayu sebagai kelompok majoriti negara, namun pada masa sama mendapat dukungan masyarakat bukan Melayu berdasarkan prinsip keadilan dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Wan Saiful, parti baharu itu dijangka menjadi pemain penting dalam landskap politik negara dan berpotensi muncul sebagai pencabar utama kepada gabungan sedia ada.

“Mereka tahu jika kita berjaya mewujudkan sebuah parti yang tersusun dan mempunyai agenda jelas, parti itu akan memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan politik negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penubuhan parti tersebut bertujuan memperkukuhkan blok pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN), selain membuka ruang kerjasama lebih luas dengan pelbagai pihak pada masa depan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share