Muyiddin Diingatkan, Beliau Bukan Lagi Pengerusi PN

MELAKA | 1 Jun 26 – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Mohd Yadzil Yaakub mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau bukan lagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), susulan beberapa kenyataan yang dilihat dibuat seolah-olah mewakili gabungan tersebut.

Dalam satu kenyataan, Yadzil berkata beliau hairan apabila Muhyiddin tampil mengumumkan sasaran PN untuk memenangi kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sedangkan jawatan Pengerusi PN kini bukan lagi disandang oleh Presiden BERSATU itu.

“Seingat saya Tan Sri Muhyiddin bukan lagi Pengerusi PN. Namun beliau masih dilihat begitu aktif membuat pengumuman bagi pihak gabungan,” katanya.

Yadzil turut mempersoalkan sama ada kenyataan tersebut dibuat melalui keputusan rasmi atau hasil perbincangan dalam kepimpinan PN.

Menurut beliau, Muhyiddin sebelum ini dikatakan berkeras menolak kemasukan beberapa parti Melayu ke dalam PN, namun kini terdapat usaha untuk membuka ruang kepada parti-parti lain menggunakan platform gabungan itu.

Beliau mendakwa perkembangan tersebut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar PN serta pihak yang sebenarnya menentukan dasar dan keputusan dalam gabungan berkenaan.

“Tan Sri bukan lagi Pengerusi PN, malah bukan juga Setiausaha Agung PN. Jadi usahlah terlalu beriya-iya membuat pengumuman bagi pihak PN,” katanya.

Yadzil turut mengingatkan bahawa urusan rasmi gabungan termasuk pengesahan calon pilihan raya tidak lagi berada di bawah bidang kuasa Muhyiddin.

Dalam masa sama, beliau menggesa Muhyiddin supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh BERSATU dan memperkasakan jentera parti di peringkat akar umbi.

Katanya, keutamaan seharusnya diberikan kepada pengukuhan organisasi parti supaya BERSATU tidak terlalu bergantung kepada kekuatan parti-parti lain dalam gabungan.

“Fokuslah kepada BERSATU. Kuatkan jentera dan bina kekuatan akar umbi. Jangan sampai parti sendiri menjadi penumpang kepada kekuatan pihak lain,” katanya.

Kenyataan Yadzil itu hadir selepas Muhyiddin mengumumkan bahawa PN akan bertanding di semua kerusi Dun Negeri Melaka dalam PRN akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share