
KOTA KINABALU | 2 Jun 26 — Serangan politik terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa semakin meningkat sejak hubungan antara BERSATU dan PAS dilihat semakin tegang, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai perkembangan dalaman blok pembangkang.
Wakil RESET Sepanggar, Norsahar Ahmad berkata, keadaan itu dapat dilihat melalui peningkatan naratif serangan terhadap Hamzah serta beberapa pemimpin yang dikaitkan dengannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menurut beliau, walaupun tiada pengesahan rasmi berhubung sebarang perpecahan antara BERSATU dan PAS, perkembangan semasa menunjukkan wujud perubahan dalam dinamika hubungan kedua-dua parti.
“Semakin jelas kelihatan bahawa BERSATU seolah-olah sudah mengibarkan bendera putih dalam hubungannya dengan PAS, walaupun pengumuman rasmi mengenai perpisahan politik antara kedua-dua pihak masih belum dibuat,” katanya.
Beliau mendakwa, susulan keadaan itu, fokus sebahagian pihak dalam BERSATU kini lebih tertumpu kepada serangan terhadap Hamzah serta kelompok pemimpin yang dikaitkan dengannya, termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Antaranya termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal, yang terus menjadi sasaran propaganda dengan isu-isu lama diungkit semula,” katanya.
Norsahar turut mendakwa kemunculan Marzuki Mohamad dalam serangan politik semasa adalah untuk mempertahankan kepimpinan Muhyiddin Yassin yang didakwanya semakin tertekan.
“Lebih mengejutkan apabila Datuk Marzuki Mohamad… tiba-tiba muncul kembali dalam gelanggang politik… sekadar mempertahankan bos lamanya yang semakin terdesak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa terdapat penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial berhubung pelancaran parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah.
“Bukan sekadar menyerang kepimpinan yang bersama Hamzah, malah cybertrooper BERSATU juga didakwa mula menyebarkan pelbagai propaganda mengenai pelancaran parti baharu itu,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih termasuk poster program rekaan bertujuan mengelirukan orang ramai dan mencetuskan persepsi negatif.
“Memviralkan jadual program yang direka sendiri, lengkap dengan tarikh, masa, lokasi dan janji hadiah cabutan bertuah. Tujuannya jelas, mengelirukan orang ramai… kemudian memanipulasi keadaan untuk menyerang pihak lawan,” katanya.
Norsahar berpendapat, peningkatan serangan terhadap Hamzah ketika hubungan BERSATU dan PAS dilihat semakin renggang hanya menguatkan persepsi bahawa perubahan besar sedang berlaku dalam landskap politik pembangkang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.