Pemimpin Akar Umbi Bersatu Sokong Cadangan Rombak PN

KUALA LUMPUR, 10 APR 25 – Beberapa pemimpin akar umbi Bersatu menyokong cadangan rombakan dilakukan terhadap Perikatan Nasional (PN) dengan syarat perkara itu dilakukan atas persetujuan semua komponen secara kolektif.

Ketua Bahagian Bersatu Pendang Abdul Razak Khamis berkata, usaha tersebut perlu dilakukan selain menampilkan tokoh utama untuk menerajui gabungan pembangkang serta pemimpin bayangan untuk jawatan tertinggi sekiranya mereka menjadi kerajaan.

“PN bergerak ke arah nak menjadi kerajaan kena jelaskan siapa akan pimpin kita dalam parti, kalau jadi kerajaan siapa akan jadi perdana menteri, rakyat nak tahu. Kalau rakyat tak tahu siapa bakal perdana menteri kita susah.

“Kita nak daripada sekarang. Eloklah itu memang kita sokong penuh cadangan itu (rombakan PN),” kata timbalan speaker DUN Kedah kepada Politiko.my.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata rombakan akan dilakukan terhadap organisasi PN yang antara lain akan dilaksanakan selepas gabungan pembangkang itu menubuhkan jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata penambahbaikan juga akan melibatkan pindaan perlembagaan, dan penubuhan majlis presiden.

Ketua Bahagian Bersatu Kota Raja Wan Dzahanurin Ahmad berkata, setiap cadangan pindaan perlu mendapat persetujuan komponen PN.

“Kita nampak memang ada banyak kelemahan dalam PN, ada perkara yang perlu diubah, tapi apa yang nak ubah, kalau setakat nak ubah yang kecil-kecil tak jadi apa, nak ubah yang di atas itu.

“Ada tiga, empat, perkara yang perlu diubah, cuma siapa berani nak ubah, kalau boleh buat dan dipersetujui, okay,” katanya.

Adun Sungai Kandis itu berkata, PN juga perlu memastikan tiada elemen ‘abang besar’ wujud dalam gabungan mereka.

“Jangan ada abang besar dalam parti ini, dalam satu pasukan empat atau lima parti, kalau nak buat perubahan kita setuju tetapi perlu dapatkan persetujuan semua,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share