Politik Melayu hari ini makin panas. Bukan lagi sekadar perang melawan kerajaan, tetapi sudah masuk fasa “perang dalam rumah sendiri”.
Apa yang sedang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) sekarang ibarat kata orang tua-tua, “Api kecil baik dipadam, kalau besar membakar rumah.”
Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Pengerusi PN dan tempatnya diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ramai menyangka suhu dalaman gabungan itu akan kembali reda. Rupa-rupanya tidak.
Muhyiddin mungkin sudah melepaskan jawatan secara rasmi, tetapi ramai melihat pengaruh beliau masih panjang berjela dalam Bersatu. Orang politik faham satu perkara, ada pemimpin letak jawatan, tetapi tidak pernah benar-benar melepaskan kuasa. Bak kata bidalan Melayu, “Tangan kanan melepas, tangan kiri masih menggenggam.”
Menyerang Kelompok Sendiri
Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa tokoh dalam Bersatu mula dilihat menyerang kelompok yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tun Faisal misalnya semakin lantang mengkritik dan menyindir pihak tertentu sehingga ramai akar umbi melihat tindakannya bukan lagi mempertahankan parti, tetapi menambah retak yang sudah sedia merekah.
Lebih menarik, nama Azmin Ali pula mula disebut sebagai “operator senyap” yang mengatur langkah dari belakang tabir. Bermula dengan mengenal pasti ahli yang tidak sehaluan, menyusun tindakan disiplin, menghantar surat tunjuk sebab, hinggalah usaha memecat mereka yang dianggap pro-Hamzah. Muncullah label sinis seperti “Geng Seluar Dalam (GSD)” dan “pengkhianat”.
Politik sudah jadi macam drama Netflix.
Yang peliknya, musuh sebenar belum tumbang, tetapi perang saudara sudah meletus dahulu. Kini semakin jelas Bersatu sedang menunjukkan “kuku besi” untuk menguasai PN sepenuhnya.
Keputusan menolak kemasukan beberapa parti Melayu-Islam ke dalam PN mula menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan pemerhati politik. Ramai percaya penolakan itu bukan soal syarat teknikal, tetapi kerana Bersatu bimbang ada gerakan baru yang akhirnya memberi ruang kepada Hamzah kembali membina pengaruh besar.
Pendek kata, Bersatu tidak mahu ada “matahari kedua” dalam PN. Dalam masa sama, Bersatu dilihat cuba membina blok kuasa bersama Gerakan dan MIPP bagi mengimbangi PAS. Tetapi masalahnya mudah.
Siapa sebenarnya yang bekerja di bawah?
PAS.
Siapa ada jentera sampai ke kampung dan pedalaman?
Kabilah PAS.
Siapa yang pasang bendera, buka bilik gerakan, edar risalah dan ketuk pintu rumah pengundi?
Masih PAS.
Tetapi siapa yang mahu bertanding paling banyak kerusi?
Bersatu.
Bak kata orang kampong, “Orang lain menanam padi, orang lain datang menuai.”
Gerakan dan MIPP pula dilihat hanya menjadi “penumpang percuma” dalam gabungan itu. Tidak banyak jentera akar umbi, tidak banyak dana politik besar, tetapi tetap mahu menikmati laba kuasa. Ini suatu kekacauan kerjasama politik yang absurd.
PAS Bukan Tidak Sedar
Sebab itu beberapa kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang kebelakangan ini mula dibaca sebagai sindiran halus kepada Bersatu.
PAS dikatakan mula terasa hati apabila beberapa parti Melayu-Islam ditolak daripada menyertai PN. Dalam masa sama, Bersatu pula mahu meletakkan ramai calon di seluruh negara menjelang PRN dan PRU16, walaupun kekuatan jentera mereka jauh lebih kecil.
Ini yang membuatkan ramai pemimpin PAS mula berbisik sesama sendiri, “Kalau semua mahu jadi calon, siapa pula mahu jadi pekerja?”
Hakikat politik sangat mudah. Pilihan raya tidak dimenangi dengan poster cantik. Bukan dengan sidang media setiap hari. Bukan kerap buat ceramah politik siang dan malam. Bukan juga dengan jumlah calon yang ramai macam kenduri kahwin.
Pilihan raya dimenangi oleh jentera yang sanggup bekerja ketika orang lain masih sibuk bercakap, menyindir dan mengumpat.
● Yang sanggup keluar pagi, pulang tengah malam.
● Yang sanggup kena maki ketika pasang bendera.
● Yang sanggup redah hujan dan panas demi undi.
Perlu diperingatkan, tanpa jentera, parti politik cuma tinggal logo dan mikrofon. Itulah masalah besar Bersatu hari ini, “mahu senang di atas penderitaan orang lain”. Taktik Bersatu telah dikesan awal dan boleh dianggap zalim dan licik.
Bersatu mahu bertanding besar-besaran, tetapi ramai tahu kekuatan kewangan parti itu tidak lagi seperti dahulu. Selepas beberapa isu mahkamah melibatkan kepimpinan tertinggi dan tindakan pembekuan akaun parti sebelum ini, Bersatu dikatakan semakin tersepit dari sudut logistik dan dana.
Kuat rauangan dan lolongan tapi tidak menggigit, kerana anjing sudah tersepit. Jangan sesekali semudahnya melepaskan, kelak tangan digigit.
‘Payung Besar’ Lebih Bermakna
Politik tanpa wang ibarat kereta tanpa minyak. Boleh hidupkan enjin, tetapi tidak pergi jauh. PAS pula bukan lagi mahu jadi “kuda tunggangan percuma”. Mereka mula sedar jika keadaan ini berterusan, akhirnya PAS hanya menjadi buruh politik kepada Bersatu, Gerakan dan MIPP.
Sebab itu kini timbul cakap-cakap bahawa PAS sedang menimbang jalan baru bersama gerakan RESET yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin. Lebih menarik apabila nama Tun Dr Mahathir Mohamad turut disebut sebagai antara tokoh yang mungkin berada di bawah “Payung Besar Melayu-Islam” yang sedang dibentuk secara perlahan-lahan. Semangat dan iltizam menjadi dorongan kuat.
Namun, ramai memandang sinis gabungan parti-parti kecil ini. Tetapi sejarah politik Malaysia pernah membuktikan sesuatu, gabungan kecil yang bersatu dan bersekutu kadang-kadang lebih bahaya daripada parti besar yang berpecah. Bak kata pepatah Melayu, “Lidi sebatang mudah dipatahkan, tetapi apabila dirangkum menjadi penyapu, ia mampu menyapu seluruh halaman.
Akhirnya, pertarungan sebenar hari ini bukan sekadar soal siapa jadi calon atau siapa pegang jawatan. Tetapi siapa benar-benar jujur mahu memperjuangkan penyatuan Melayu-Islam dan siapa hanya berpura-pura dan mahu menjadi “abang besar” demi kuasa.
Rakyat Telah Matang
Rakyat sedang melihat. Dan rakyat hari ini bukan lagi rakyat tahun 1990-an. Mereka memerhati dengan teliti. Mereka tidak lalai dari menilai. Dan mereka kini telah matang mahu bersama berjuang; tahu membezakan antara perjuangan tulen dengan permainan palsu. Kemungkinan PRU16 nanti bukan sahaja menjadi perang antara kerajaan dan pembangkang.
Tetapi boleh jadi perang paling besar sesama sendiri dalam blok politik Melayu. Dan kalau perebutan kuasa terus mengatasi perjuangan rakyat, ini gaya terperangkap dalam ilusi mimpi. Jangan terkejut jika akhirnya yang karam bukan bahtera musuh, tetapi bahtera sendiri.
Oleh: Ramlee Wahab – Sri Gading
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.