Pengeluaran Minyak Negara Susut, DOSM Rekod Kejatuhan 5.5 Peratus

KUALA LUMPUR | 6 Jun 26 – Pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia mencatatkan penurunan 5.5 peratus pada suku pertama 2026 kepada 43 juta tong berbanding 45.5 juta tong dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusutan itu didorong oleh pengeluaran minyak mentah yang terus menguncup sebanyak 9.4 peratus, dengan jumlah pengeluaran menurun kepada 28.1 juta tong berbanding 31.5 juta tong pada suku pertama 2025.

Bagaimanapun, pengeluaran kondensat menunjukkan prestasi lebih baik apabila meningkat tiga peratus kepada 14.9 juta tong berbanding 14.4 juta tong yang direkodkan setahun lalu.

Laporan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli Suku Pertama 2026 turut menunjukkan minyak mentah menyumbang 65.4 peratus daripada jumlah pengeluaran keseluruhan, manakala kondensat merangkumi baki 34.6 peratus.

Dalam tempoh sama, pengeluaran gas asli turut mencatatkan penyusutan sebanyak 2.1 peratus kepada 765.8 bilion kaki padu berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun jumlah pengeluaran menurun, harga minyak global yang lebih tinggi membantu meningkatkan nilai purata harga angkat berwajaran (WALP) minyak mentah dan kondensat Malaysia kepada AS$84 setong, berbanding AS$66.1 setong pada suku sebelumnya.

Dari sudut perdagangan, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat turut menurun kepada RM5.2 bilion berbanding RM6.1 bilion pada suku sebelumnya. Eksport gas asli cecair (LNG) juga susut kepada RM12.9 bilion daripada RM13.6 bilion yang direkodkan sebelum ini.

Data terbaru ini menunjukkan sektor petroleum negara masih berdepan cabaran dari segi pengeluaran, meskipun harga minyak dunia yang lebih tinggi terus memberi sokongan kepada pendapatan industri tenaga negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share