Sambung Jajaran ECRL Hingga Ke Thailand, Kata Duta

KUALA LUMPUR, 15 MEI 25- Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas menyarankan agar jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dilanjutkan ke sempadan Sungai Golok bagi meningkatkan keterhubungan kedua-dua negara.

Katanya, keterhubungan di sempadan dua negara penting bagi meningkatkan perdagangan dan logistik.

Jajaran ECRL sepanjang 665km dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka siap pada Disember 2026.

“Kami mempunyai stesen kereta api di Sungai Golok yang kini perlu diterokai cara menghidupkannya semula, selain memanfaatkannya supaya ECRL dapat dilanjutkan dan disambungkan ke rangkaian rel di pihak Thailand.

“Dari situ, ia boleh disambungkan ke Hatyai, iaitu bandar sempadan berjiran dengan Padang Besar di pihak Malaysia yang boleh memudahkan integrasi logistik lebih baik, selain meningkatkan keterhubungan rel serantau,” katanya dalam temubual bersama Bernama.

Tambahnya, penyambungan sistem rel Singapura, Malaysia, Laos dan China berpotensi mengukuhkan hubungan serantau.

Phumas berkata, penyambungan sedemikian akan menggalakkan perdagangan, meningkatkan mobiliti dan memberikan manfaat ekonomi besar kepada kedua-dua negara.

“Kerjasama ini boleh memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan membuka peluang besar di pasaran, khususnya di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).”

Tegasnya, hal ini akan menjadi topik utama pada sidang kemuncak akan datang antara Asean, GCC serta China yang dianggap penting kerana GCC dan China menawarkan pasaran berpotensi besar untuk produk halal.

“Dengan menyelaraskan jadual pengeluaran kedua-dua negara, terutamanya dalam produk makanan, rantaian bekalan boleh dioptimumkan.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memanfaatkan Malaysia dan Thailand, tetapi juga menyokong rantau lebih luas dengan menyediakan produk halal berkualiti tinggi dan menangani isu keterjaminan makanan.”

Pada 6 Mei lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, projek ECRL merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai kemajuan 82.45% setakat bulan lalu, dengan pemasangan landasan sepanjang 400km dari Maran, Pahang ke Kota Bharu sudah siap. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share