
KUALA LUMPUR | 10 Jun 26 – Empat pimpinan utama Siswa BERSATU Malaysia mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam organisasi tersebut serta keahlian Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan media bersama, mereka berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan menganalisis keadaan dalam parti serta gabungan secara menyeluruh, selain mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku dalam landskap politik negara.
Menurut mereka, tindakan berkenaan bukan dibuat secara melulu, sebaliknya hasil pertimbangan mendalam berhubung hala tuju perjuangan dan prinsip yang ingin dibawa.
“Kami tetap berpegang kepada keyakinan bahawa penyatuan ummah merupakan asas penting dalam memperkukuhkan kestabilan politik dan memperjuangkan kebajikan rakyat. Namun, kami melihat terdapat perbezaan yang semakin ketara antara pendirian tersebut dengan hala tuju semasa parti,” menurut kenyataan itu.
Mereka berkata, perbezaan berkenaan mendorong keputusan untuk meneruskan perjuangan melalui wadah yang dianggap lebih selari dengan prinsip dan aspirasi yang diperjuangkan.
Dalam kenyataan sama, kumpulan berkenaan turut menyatakan kesediaan untuk bersama dengan Gerakan RESET yang disifatkan mampu membawa nafas baharu kepada negara.
Menurut mereka, langkah tersebut juga selaras dengan gagasan Konsensus Nasional yang diyakini berupaya menawarkan pendekatan politik baharu kepada rakyat Malaysia.
“Kami menyatakan kesediaan untuk bersama dengan Gerakan RESET yang akan membawa nafas baharu kepada negara. Perkara ini juga selaras dengan Gagasan Konsensus Nasional yang akan ditonjolkan kepada rakyat Malaysia tidak lama lagi,” kata kenyataan itu.
Mereka bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada BERSATU atas peluang dan ruang perjuangan yang pernah diberikan sepanjang penglibatan dalam parti itu.
Antara yang menandatangani kenyataan berkenaan ialah Presiden Siswa BERSATU Malaysia, Ameer Hazeem Mohd Zaky, Naib Presiden Siswa BERSATU Malaysia, Muhammad Hakim Mohd Helmy, Setiausaha Agung Siswa BERSATU Malaysia, Wan Amir Hakim Wan Mohd Asdi, serta Bendahari Kehormat Siswa BERSATU Malaysia, Sarah Hannani Ahmad Fikri.
Terdahulu, bekas Exco Siswa BERSATU Malaysia, Lailatul Zayani Awaludin, turut mengumumkan peletakan jawatan daripada parti, menjadikan perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi gelombang penghijrahan pemimpin muda BERSATU ke arah gerakan politik baharu yang sedang dibentuk.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.