UMNO Tak Mahu Terikat Dengan PH, Johor Jadi Jendela Kerjasama Baharu?

“Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia tanpa melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan. Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri.”

Demikian antara perkara paling menarik yang terkandung dalam kenyataan media Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 10 Jun lalu.

Walaupun kenyataan itu pada zahirnya menegaskan komitmen UMNO untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya akan datang, namun mesej yang tersirat jauh lebih besar daripada yang tersurat.

Hakikatnya, UMNO sedang menghantar isyarat bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya tidak semestinya diterjemahkan kepada kerjasama politik di peringkat negeri, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin menghampiri.

Perkara ini diperkukuhkan lagi menerusi kenyataan bahawa UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila berdepan mana-mana pilihan raya, termasuk PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam bahasa politik, ini adalah penegasan bahawa UMNO tidak mahu terikat sepenuhnya dengan formula Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan selepas PRU15.

Johor bukan negeri biasa dalam percaturan politik UMNO. Negeri itu merupakan tempat kelahiran parti tersebut dan sering dianggap sebagai barometer kekuatan politik Melayu arus perdana.

Kemenangan besar BN dalam PRN Johor 2022 masih menjadi modal politik yang penting bagi UMNO untuk membuktikan bahawa parti itu masih mempunyai pengaruh tersendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada mana-mana rakan politik. Atas sebab itu, PRN Johor dilihat berpotensi menjadi medan ujian kepada formula politik baharu UMNO.

Jika sebelum ini kerjasama dengan PH dianggap sebagai keperluan untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, UMNO kini kelihatan mahu menguji sejauh mana parti itu mampu bergerak secara lebih bebas dalam menentukan strategi pilihan rayanya.

Lebih menarik, kenyataan MKT turut menyebut bahawa UMNO terbuka kepada “apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak” demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Frasa tersebut membuka ruang tafsiran yang luas.

Ia bukan sahaja memberi tekanan kepada PH dalam rundingan politik akan datang, malah boleh dibaca sebagai usaha UMNO mengekalkan fleksibiliti untuk berunding dengan pelbagai pihak sekiranya keadaan politik berubah.

Dalam konteks semasa, ketika PAS sedang menggerakkan agenda Penyatuan Ummah dan membuka ruang kerjasama yang lebih luas, manakala landskap pembangkang pula sedang mengalami proses penjajaran semula, kenyataan UMNO itu tidak boleh dipandang sebagai sekadar persediaan menghadapi PRN.

Sebaliknya, ia mungkin petanda bahawa UMNO sedang menilai semula kedudukannya dalam peta politik nasional.

Persoalan yang timbul kini ialah sama ada Johor akan menjadi sekadar gelanggang pilihan raya negeri, atau bakal menjadi jendela kepada pembentukan kerjasama politik baharu yang boleh mengubah landskap politik negara menjelang PRU16. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share