
KUALA LUMPUR | 11 Jun 26 – Wartawan veteran dan bekas Penasihat Media kepada Perdana Menteri Ketujuh, Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) aduan ugutan jenayah yang dibuat ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai sesuatu yang tidak mengejutkan.
Menurut beliau, keputusan tersebut selari dengan beberapa keputusan terdahulu yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi dan menimbulkan persoalan mengenai pendekatan pihak pendakwaan dalam mengendalikan kes berkepentingan awam.
“Langkah AGC menNFAkan aduan Albert Tei terhadap Azam Baki tidaklah memeranjatkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Kadir turut mengaitkan keputusan itu dengan tindakan AGC sebelum ini yang tidak meneruskan pendakwaan dalam beberapa kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, jika kes-kes yang mendapat perhatian meluas masyarakat boleh dihentikan, maka keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap aduan Albert Tei bukanlah sesuatu yang luar jangkaan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan AGC yang memaklumkan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut selepas meneliti secara menyeluruh kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
AGC dalam kenyataannya menjelaskan bahawa siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan mendapati elemen kesalahan tersebut tidak dapat dibuktikan.
Mengulas lanjut, Kadir berpandangan bahawa Azam masih mempunyai pengaruh yang besar walaupun telah bersara daripada SPRM.
Beliau mendakwa bekas ketua agensi antirasuah itu terus mendapat penghargaan dan keyakinan daripada kepimpinan kerajaan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini beberapa kali memuji prestasi serta ketegasannya ketika menerajui SPRM.
“Dalam hal ini, orang ramai perlu memahami kedudukan dan keistimewaan Azam kepada pemerintahan Madani,” katanya.
Kadir turut berpendapat bahawa pengalaman Azam sebagai bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM memberikannya akses kepada pelbagai maklumat sensitif berkaitan tokoh-tokoh penting dalam kerajaan dan luar kerajaan.
Isu tersebut terus menjadi perhatian selepas AGC mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap aduan yang dikemukakan Albert Tei, sekali gus menutup siasatan berkaitan dakwaan ugutan jenayah terhadap Azam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.