
KUALA LUMPUR | 11 Jun 26 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa gabungan itu bukan milik mutlak mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan sebuah gabungan yang ditubuhkan atas dasar muafakat dan tertakluk kepada perlembagaan organisasi.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Samsuri berkata sebarang keputusan berkaitan status, kedudukan dan hala tuju PN perlu dibuat mengikut saluran rasmi yang diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan tersebut dan bukannya melalui tafsiran unilateral oleh mana-mana pihak.
“Perikatan Nasional bukan milik mana-mana parti secara mutlak. PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa PAS merupakan antara parti pengasas PN dan beliau sendiri adalah salah seorang penandatangan rasmi dokumen penubuhan gabungan tersebut.
Kenyataan itu dilihat sebagai penegasan terhadap kedudukan struktur PN ketika perdebatan mengenai masa depan gabungan berkenaan semakin hangat susulan perkembangan hubungan politik antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Samsuri, sebarang tafsiran mengenai kedudukan PN tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh mana-mana pihak tanpa merujuk kepada peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan gabungan.
“Sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak. Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya.
Beliau berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan PN terus berfungsi sebagai sebuah gabungan politik yang diurus secara teratur, berprinsip dan bertanggungjawab.
“Keutamaan saya ialah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Kenyataan tersebut merupakan penjelasan pertama daripada Samsuri selaku Pengerusi PN selepas beberapa perkembangan politik yang mencetuskan persoalan mengenai kedudukan dan masa depan gabungan itu.
Pemerhati politik melihat kenyataan berkenaan sebagai usaha menegaskan bahawa kuasa menentukan hala tuju PN tidak terletak pada mana-mana parti secara bersendirian, sebaliknya perlu diputuskan secara kolektif berdasarkan peruntukan perlembagaan dan semangat muafakat yang menjadi asas penubuhannya pada tahun 2020. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.