
KUALA LUMPUR | 12 Jun 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan “pengasas” Perikatan Nasional (PN) sebagai satu “tahyul politik” yang sengaja dipelihara bagi memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan gabungan tersebut.
Dalam satu kenyataan tegas hari ini, Wan Saiful berkata naratif yang cuba meletakkan Muhyiddin sebagai individu tunggal yang melahirkan PN tidak berasaskan fakta, malah menafikan peranan ramai pihak yang terlibat dalam proses pembentukan gabungan itu.
“Dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pengasas Perikatan Nasional adalah tahyul yang perlu dihapuskan,” katanya dalam satu hantaran di facebook, sebentar tadi.
Beliau merujuk kepada mesyuarat penubuhan PN pada 29 Julai 2020 di Menara Parlimen yang menurutnya dihadiri 12 pemimpin daripada PAS, BERSATU, Gerakan dan MIC.
Menurut Wan Saiful, kehadiran pelbagai parti dalam mesyuarat tersebut membuktikan bahawa PN lahir hasil muafakat bersama, bukannya daripada usaha seorang individu semata-mata.
Malah beliau turut mendakwa idea asal penubuhan PN serta nama “Perikatan Nasional” sendiri tidak melibatkan Muhyiddin.
Wan Saiful mendedahkan bahawa cadangan penubuhan PN telah digerakkan oleh beberapa individu lain yang mengemukakan idea tersebut kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Langsung tiada penglibatan Muhyiddin dalam cadangan asal penubuhan dan penggunaan nama PN,” tegasnya.
Beliau turut mendakwa wujud satu surat setebal 38 muka surat yang dihantar kepada Mahathir bagi mengusulkan pembentukan PN, selain menyatakan bahawa logo gabungan itu juga direka oleh individu lain dan bukannya Muhyiddin.
Menurutnya, Muhyiddin hanya kemudian mencadangkan penggunaan simbol pokok sebagai logo, namun cadangan tersebut ditolak.
Tanpa menamakan individu yang terlibat, Wan Saiful berkata terdapat sekurang-kurangnya enam tokoh yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan idea, menyediakan dokumen cadangan serta mereka bentuk identiti awal PN.
Beliau berharap individu-individu terbabit tampil ke hadapan bagi menjelaskan fakta sebenar dan menamatkan apa yang disifatkannya sebagai “tahyul” yang sedang dibina oleh pihak tertentu.
Dalam nada yang semakin keras, Wan Saiful turut menempelak usaha sesetengah pihak yang didakwanya cuba “mendewakan” Muhyiddin dengan mengaitkan segala kejayaan PN kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Sudah sudahlah usaha menjadikan Muhyiddin sebagai dewata raya yang dipuja-puja. Lebih banyak tahyul yang dibawa, lebih malu nanti jadinya,” katanya.
Kenyataan tersebut mematahkan naratif yang selama ini mengaitkan Muhyiddin sebagai arkitek utama Perikatan Nasional.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa Perikatan Nasipnal, bukan milik mutlak mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan sebuah gabungan yang ditubuhkan atas dasar muafakat dan tertakluk kepada perlembagaan organisasi.
“Perikatan Nasional bukan milik mana-mana parti secara mutlak. PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas,” katanya dalam satu kenyataan sekaligus menafikan dakwaan bahawa Muhyiddin adalah pengasas PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.