
KUALA LUMPUR | 13 Jun 26 – Perkembangan hubungan PAS dan BERSATU turut mendapat liputan meluas media antarabangsa yang melihat isu tersebut sebagai ttik berlakunya penjajaran semula landskap politik Melayu dan pembangkang di Malaysia.
Beberapa media utama serantau seperti The Straits Times, South China Morning Post (SCMP) dan Channel News Asia (CNA) memberi tumpuan kepada implikasi perpecahan kedua-dua parti terhadap masa depan Perikatan Nasional (PN) serta keseimbangan kuasa dalam politik negara.
Laporan The Straits Times menyifatkan PAS dan BERSATU sebagai telah melalui “perceraian politik”, dengan persoalan utama kini tertumpu kepada siapa yang akan menguasai dan menerajui PN selepas perpecahan tersebut. Akhbar Singapura itu melihat krisis berkenaan bukan sekadar konflik antara dua parti, tetapi melibatkan masa depan keseluruhan blok pembangkang.
Menurut laporan itu, kedudukan PAS sebagai parti terbesar dalam PN berpotensi menjadikannya kuasa dominan dalam menentukan hala tuju pembangkang, terutama ketika timbul spekulasi mengenai pembentukan parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Nada yang hampir sama turut dibawa oleh South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong. Media berkenaan menggambarkan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU sebagai perkembangan yang menggoncang kestabilan blok pembangkang utama negara.
SCMP berpandangan bahawa perpecahan tersebut meletakkan masa depan PN dalam keadaan tidak menentu dan pada masa yang sama mengukuhkan persepsi bahawa PAS kini muncul sebagai pemain paling berpengaruh dalam kalangan parti pembangkang.
Sementara itu, Channel News Asia pula melihat perkembangan tersebut sebagai permulaan kepada pembentukan pakatan politik Melayu yang baharu.
Dalam analisisnya, CNA menyatakan bahawa isu sebenar bukan lagi mengenai survival PN dalam bentuk sedia ada, sebaliknya mengenai bagaimana PAS akan membentuk kerjasama politik baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Media Singapura itu turut memetik pandangan penganalisis yang beranggapan bahawa kerjasama PAS dengan kumpulan pemimpin yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin mungkin lebih berpotensi berlaku berbanding usaha menghidupkan semula hubungan politik dengan kepimpinan BERSATU ketika ini.
Secara keseluruhannya, media luar dilihat tidak menumpukan perhatian kepada pertikaian dalaman PAS atau BERSATU semata-mata. Sebaliknya, mereka melihat perkembangan tersebut melalui perspektif yang lebih luas, iaitu perebutan kepimpinan dalam politik Melayu dan masa depan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Rumusan liputan media antarabangsa itu menunjukkan bahawa perpecahan PAS-BERSATU kini dianggap sebagai titik perubahan penting dalam politik Malaysia, dengan persoalan utama bukan lagi sama ada hubungan kedua-dua parti dapat dipulihkan, tetapi siapa yang bakal muncul sebagai peneraju baharu blok pembangkang pada masa hadapan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.