WAWASAN Lancar Gerakan Penyatuan Di PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN | 18 Jun 26 — Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Negeri Sembilan melancarkan gerakan politiknya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan membawa agenda penyatuan, kestabilan serta perubahan pentadbiran.

Pengerusi Penaja WAWASAN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Sharin atau lebih dikenali dengan CheGuBard berkata, parti itu akan terlibat secara aktif dalam PRN Negeri Sembilan selepas WAWASAN diperkenalkan di peringkat nasional pada Konvensyen Reset Malaysia pada 13 Jun lalu.

Menurut beliau, kehadiran WAWASAN bukan bertujuan menjadi pemecah undi, sebaliknya menjadi wadah yang membawa pendekatan baharu dalam usaha mengembalikan kestabilan politik negeri dan negara.

“WAWASAN bukan PPBM 2.0. Kehadiran WAWASAN bukan sebagai pemecah undi, sebaliknya menginsafi betapa kestabilan negeri dan negara ini perlu dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan.

CheGuBard berkata, WAWASAN akan membawa gagasan New National Consensus (Permuafakatan Nasional Baharu) sebagai asas perjuangan dengan memberi tumpuan kepada perpaduan, kemakmuran bersama, keadilan serta kepimpinan berteraskan moral dan integriti.

Beliau turut menyentuh mengenai perkembangan politik Negeri Sembilan yang menurutnya berdepan beberapa cabaran termasuk isu kos sara hidup, pembangunan bandar serta pentadbiran negeri.

Katanya, Pilihan Raya Negeri Sembilan kali ini menjadi pilihan raya yang unik selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku susulan kegagalan mengadakan sidang DUN dalam tempoh ditetapkan.

Beliau mendakwa perkara tersebut menunjukkan kelemahan dalam pengurusan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam masa sama, CheGuBard turut membangkitkan isu berkaitan institusi adat Negeri Sembilan dengan mendakwa kerajaan negeri gagal menangani perkara yang melibatkan sensitiviti institusi beraja dan adat.

Menurutnya, isu tersebut bukan berkaitan perebutan kuasa, tetapi melibatkan usaha mempertahankan sistem adat yang menjadi sebahagian daripada identiti Negeri Sembilan.

“Kami tegaskan isu di Negeri Sembilan bukan isu perebutan takhta tetapi isu mempertahankan sistem adat yang menjadi payung bangsa selama ini,” katanya.

CheGuBard turut mendakwa rakyat tidak boleh hanya bergantung kepada angka atau pencapaian atas kertas, sebaliknya kerajaan perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat.

Beliau berkata, WAWASAN kini berperanan sebagai penghubung untuk menyatukan kekuatan semua pihak yang mahu melihat perubahan dalam pentadbiran negeri.

“WAWASAN sedang bertindak menjadi jambatan bagi menyatukan kekuatan semua pihak bagi mendepani pihak yang ternyata gagal mengurus tadbir negeri dan negara,” katanya.

Menurutnya, pengundi Negeri Sembilan akan menjadi penentu arah baharu negeri itu dalam PRN akan datang dengan memilih kestabilan serta masa depan yang lebih baik. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Menteri Besar SG4 Tegas REE Hak Negeri

SG4 menegaskan bahawa gabungan empat negeri tersebut kini mewakili kira-kira 70 peratus sumber REE terbesar di Malaysia, dan komited memastikan pengurusan sumber berharga itu dilakukan secara bertanggungjawab
Read More
Total
0
Share