
HULU LANGAT | 23 Jun 26 – Kemasukan Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) ke dalam Perikatan Nasional (PN) merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan blok pembangkang dan menawarkan alternatif yang lebih kukuh serta berprinsip kepada rakyat, kata wakil Parti Wawasan Negara Bahagian Hulu Langat, Faiz Ahmad.
Menurut beliau, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Perikatan Nasional serta semua parti komponen gabungan itu atas penerimaan Wawasan Negara sebagai sebahagian daripada keluarga besar PN.
“Kemasukan ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan blok pembangkang di Malaysia dalam usaha menawarkan sebuah alternatif yang lebih kukuh, berprinsip dan diyakini rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz berkata, dalam keadaan negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi serta peningkatan kos sara hidup, penyatuan kekuatan pembangkang menjadi satu keperluan yang tidak boleh lagi ditangguhkan.
Beliau turut mendakwa kerajaan MADANI gagal memenuhi pelbagai harapan rakyat, sekali gus menjadikan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan parti pembangkang sebagai langkah penting untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
Menurutnya, sudah tiba masanya parti-parti pembangkang mengenepikan perbezaan kecil dan mengutamakan matlamat yang lebih besar demi membentuk satu barisan yang lebih mantap bagi menghadapi kerajaan.
“Melalui kesatuan dan kerjasama yang erat, suara rakyat dapat dibela dengan lebih berkesan,” katanya.
Pada masa sama, Faiz menegaskan bahawa agenda Penyatuan Ummah perlu dijadikan matlamat utama negara dan tidak terhad kepada kerjasama dalam kalangan pembangkang sahaja.
Beliau berkata, usaha tersebut memerlukan komitmen semua pihak termasuk parti-parti yang berada dalam kerajaan kerana kepentingan agama, bangsa dan negara perlu mengatasi kepentingan politik kepartian.
“Parti Wawasan Negara Bahagian Hulu Langat akan terus komited memainkan peranan dalam memperkukuhkan Perikatan Nasional serta menggerakkan usaha penyatuan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Malam tadi, Perikatan Nasional (PN) bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menyertai gabungan itu sebagai parti anggota baharu. Parti tersebut adalah Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (Wawasan Negara) ke dalam Perikatan Nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.