
KUALA LUMPUR | 15 Julai 26 – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Parti Wawasan Negara (WAWASAN Negara) kini secara rasmi menjadi parti komponen gabungan itu selepas pertukaran nama parti tersebut diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN telah menerima pemakluman bahawa ROS meluluskan permohonan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara pada 6 Julai lalu.
Menurut beliau, susulan kelulusan itu, Parti Wawasan Negara secara sah menjadi Parti Anggota Perikatan Nasional bermula pada tarikh sama berdasarkan peruntukan Fasal 6.5 Perlembagaan PN.
“Pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan permohonan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara pada 6 Julai 2026.
“Sehubungan itu, Parti Wawasan Negara secara sah menjadi Parti Anggota Perikatan Nasional atas namanya mulai tarikh tersebut berdasarkan peruntukan Fasal 6.5, Perlembagaan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengesahan itu sekali gus menamatkan segala persoalan mengenai kedudukan Parti Wawasan Negara dalam gabungan PN selepas penjenamaan semula daripada Parti Cinta Malaysia.
Parti Wawasan Negara sebelum ini diumumkan sebagai wadah politik baharu yang diterajui bekas pemimpin kanan Bersatu, termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Dengan pengesahan tersebut, WAWASAN kini secara rasmi menyertai PN sebagai salah satu parti komponennya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.