
SHAH ALAM | 9 Ogos 26 — Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menerima usul berkaitan syarat Speaker Dewan Negeri Selangor, khususnya membabitkan kedudukan Islam dan Melayu, dalam lima usul yang diterima pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Selangor Kali Ke-60.
Usul berkenaan disenaraikan secara khusus sebagai “Isu Kedaulatan & Syarat Speaker Dewan Negeri (Islam & Melayu)”, sekali gus menjadikan kedudukan Islam dan Melayu dalam institusi Dewan Negeri antara agenda yang dibawa Pemuda PAS Selangor menerusi muktamar tahun ini.
Untuk rekod, pemimpin DAP, Lau Weng San tidak bertanding dalam PRN Selangor 2023 selepas tamat penggalnya sebagai ADUN Banting, namun kembali ke Dewan Negeri sebagai Speaker selepas dipilih oleh ADUN pada September 2023.
Usul itu merupakan satu daripada lima usul yang diterima pada muktamar berkenaan. Empat usul lain melibatkan isu strategik ekonomi membabitkan pusat data dan semikonduktor, pemerkasaan serta penambahan Tanah Rizab Melayu bernilai tinggi, strategi politik PRU-16 melalui kerjasama strategik PN dan Barisan Nasional (BN), serta cadangan supaya PAS memimpin PN Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS Selangor turut mengumumkan penganjuran Kongres Melayu Selangor pada 16 September 2026 melalui Sekretariat Gabungan Rakyat Pertahan Islam & Institusi Beraja (DAULAT).
“Kongres ini akan menjadi pentas besar bagi menghimpunkan para teknokrat, ahli akademik, NGO, tokoh korporat, dan pimpinan masyarakat. Fokus utama kongres adalah untuk merangka pelan tindakan bersepadu bagi menyelamatkan masa depan sosio-ekonomi, pemilikan hartanah, dan kedaulatan politik orang Melayu di negeri Selangor. Kata Ketua PAS Selangor, Mohamed Sukri bin Omar.
Muktamar Tahunan Pemuda PAS Selangor Kali Ke-60 tahun ini menandakan enam dekad penubuhan dan kelangsungan perjuangan Pemuda PAS di Selangor, dengan angka 60 tahun digambarkan sebagai lambang kematangan, ketahanan serta kesiapsiagaan jentera Pemuda PAS untuk memimpin perubahan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.