PEJUANG Sedia Perkukuh PN, Tumpu Kawasan Bandar dan Pinggir Bandar – Mukhriz

KUALA LUMPUR | 23 Jun 26 – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyambut baik keputusan Perikatan Nasional (PN) meluluskan permohonan parti itu untuk menyertai gabungan berkenaan sebagai parti anggota baharu.

Presidennya, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir, berkata PEJUANG amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kepimpinan PN selepas parti itu mengemukakan dua permohonan rasmi sebelum ini.

“Memang kita alu-alukan keputusan tersebut. Kita berterima kasih banyak-banyak kepada kepimpinan PN. Kami sebenarnya sudah dua kali memohon secara rasmi untuk menyertai PN dan baru sekarang keputusan dibuat,” katanya.

Menurut Mukhriz, PEJUANG kini bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti komponen PN dalam menghadapi landskap politik semasa serta memperkukuhkan kedudukan gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, PEJUANG tidak bercadang untuk bertanding secara meluas di seluruh negara, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada kawasan tertentu yang dianggap mempunyai kekuatan dan pengaruh parti.

“Kami tidak ada di semua tempat. Ada kawasan-kawasan tertentu sahaja yang kita tumpukan. Kita merasakan di kawasan bandar dan pinggiran bandar, PEJUANG mempunyai peranan yang boleh dimainkan,” katanya.

Mukhriz turut berpandangan bahawa imej PEJUANG sebagai sebuah parti Melayu berteraskan nasionalisme melengkapkan kekuatan sedia ada dalam PN, khususnya apabila digandingkan dengan parti-parti yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan luar bandar.

Beliau mencontohkan PAS yang lebih tertumpu di kawasan luar bandar dan negeri-negeri Melayu, sekali gus mewujudkan gabungan kekuatan yang saling melengkapi antara parti-parti dalam PN.

“Gandingan semua parti dalam PN ini sudah cukup cantik untuk kita menawarkan satu formula yang lengkap bagi pertimbangan rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Majlis Tertinggi PN mengumumkan kelulusan permohonan PEJUANG dan Parti Cinta Malaysia (PCM yang akan dikenali sebagai Parti Wawasan Negara) untuk menjadi parti anggota baharu gabungan itu. Keputusan tersebut dijangka memperluaskan pengaruh PN dalam usaha memperkukuhkan blok pembangkang menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share