
KUALA LUMPUR | 25 Jun 26 – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta kerajaan menjelaskan status platform pinjaman digital seperti Shopee Loan dan skim Buy Now Pay Later (BNPL), termasuk aspek kawal selia yang melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang berkaitan kredit pengguna di Dewan Rakyat, beliau berkata ramai pengguna mungkin tidak menyedari bahawa pelbagai bentuk kemudahan kredit digital yang digunakan hari ini berada di bawah kerangka kawal selia yang sedang diperkukuhkan kerajaan.
“Saya baru tahu rupanya Shopee Loan ini… kita selalu beli barang dekat Shopee, tetapi hari ini ada Shopee Loan, ada S Loan dan ada Buy Now Pay Later,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan pesat pinjaman digital dan BNPL perlu diberi perhatian serius kerana ia semakin popular dalam kalangan generasi muda.
Mas Ermieyati berkata data menunjukkan seramai 3.7 juta rakyat Malaysia berusia antara 21 hingga 45 tahun menggunakan kemudahan kredit seperti BNPL, manakala nilai transaksinya telah mencecah RM1.42 bilion.
Beliau mengingatkan bahawa trend tersebut boleh mewujudkan budaya berhutang yang tidak sihat jika tidak dipantau dengan berkesan.
“Dulu ibu bapa kita guna Buku 555 di kedai runcit. Hari ini anak-anak kita ada Buku 555 versi digital dan ini sangat bahaya kalau tidak dibendung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya KPKT diberi peranan lebih besar dalam pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) memandangkan kementerian itu mempunyai pengalaman dalam mengawal selia pemberi pinjam wang dan industri pajak gadai.
Dalam perbahasannya, beliau turut mempersoalkan sama ada peruntukan RM5.6 juta kepada KPKT mencukupi untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap sektor kredit pengguna yang semakin berkembang.
Pada masa sama, beliau berpendapat kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran kewangan rakyat berbanding menganjurkan program seperti Anugerah Kredit Madani.
“Lebih baik buat kempen kesedaran kepada masyarakat di luar sana. Itu lebih berbaloi,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.