
ALOR SETAR | 20 Sep 26 – Rakyat berhak mengetahui dengan jelas bagaimana jumlah bil elektrik mereka dikira, khususnya apabila berlaku kenaikan bayaran walaupun penggunaan elektrik tidak berubah atau berkurangan.
ADUN Sungai Tiang merangkap Penyelaras Wawasan Negara Negeri Kedah, YB Abdul Razak Khamis berkata, pengguna selama ini sering menerima angka akhir dalam bil tanpa benar-benar memahami perjalanan angka berkenaan daripada bacaan meter sehingga menjadi jumlah yang perlu dibayar.
Menurutnya, isu bil elektrik yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini memperlihatkan masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai komponen dan caj yang terkandung dalam bil elektrik.
“Ramai sebenarnya yang tidak faham sama sekali kenapa mereka perlu membayar lebih banyak atas penggunaan yang sama banyak – atau yang mungkin kurang,” katanya.
Beliau berkata, pengguna kini berdepan dengan pelbagai istilah dalam bil elektrik termasuk caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian, caj peruncitan, pelarasan kos bahan api secara automatik atau AFA serta cukai yang tertakluk kepada syarat tertentu.
Katanya, walaupun setiap komponen berkenaan mungkin mempunyai asas pengiraan tersendiri, persoalannya ialah sejauh mana perkara itu diterangkan kepada pengguna dalam bahasa yang mudah difahami.
Abdul Razak turut mengambil mekanisme AFA sebagai contoh, yang menurutnya perlu diterangkan dengan lebih jelas kepada pengguna apabila berlaku perubahan kadar.
“Apabila surcaj AFA bagi September ditetapkan pada 3.67 sen setiap kilowatt jam, pengguna patut diberitahu apa yang berubah dan bagaimana perubahan itu memberi kesan kepada bil rumah mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga memperbaiki pendekatan komunikasi dengan pengguna, termasuk memberikan penerangan lebih awal apabila berlaku perubahan kadar atau komponen bil.
Katanya, pengguna juga wajar diberikan contoh bil pada beberapa tahap penggunaan supaya mereka dapat memahami kesan setiap perubahan terhadap jumlah yang perlu dibayar.
“Jika ada caj lain yang bertambah atau pengecualian yang tamat, jelaskan satu per satu, termasuk berapa ringgit kesannya kepada isi rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata TNB boleh menggunakan pendekatan komunikasi yang lebih mudah seperti video pendek, grafik dan penerangan melalui aplikasi myTNB untuk menerangkan istilah serta mekanisme dalam bil elektrik.
Beliau turut mahu Suruhanjaya Tenaga lebih terbuka dalam menangani aduan pengguna, termasuk menjelaskan jumlah aduan diterima, punca yang kerap dikenal pasti serta proses untuk pengguna mendapatkan semakan bacaan meter dan pengiraan bil.
Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan pengguna bukan sekadar menerima jumlah akhir yang tertera dalam bil, tetapi memahami apa yang sebenarnya mereka bayar.
“Mentaliti ‘hang pakai, hang bayar’ sudah tidak sesuai diamalkan. Elektrik ialah keperluan harian, dan pengguna berhak memahami caj yang dikenakan kepada mereka,” katanya.
“Pendekatan yang lebih wajar ialah: ‘Hang pakai, kami terangkan, baru hang bayar’,” katanya.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.