PRN Johor: PAS Dijangka Buat Keputusan Hala Tuju Terhadap BERSATU Hari Ini

KOTA BHARU | 29 Jun 26 – PAS dijangka membuat keputusan penting berhubung hala tuju sokongan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) termasuk berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat pada Isnin ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara tersebut dan berkata mesyuarat berkenaan akan bermula jam 5 petang serta turut membincangkan beberapa agenda lain berkaitan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN).

“Hari Isnin ini PAS Pusat akan bermesyuarat dan buat keputusan termasuklah perkara-perkara lain. Sekarang ini belum ada keputusan,” katanya pada sidang akhbar, Sabtu malam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu.

Menurut Takiyuddin, mesyuarat itu juga akan meneliti secara menyeluruh kedudukan kerjasama politik antara PAS dengan parti-parti komponen dalam PN, termasuk BERSATU.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai bentuk keputusan yang bakal dibuat, sama ada melibatkan kesinambungan sokongan atau perubahan pendirian politik parti itu.

8 Jun lalu, PAS mengumumkan keputusan menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan BERSATU selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share