
KUALA LUMPUR, 25 Mei 25 – Perikatan Nasional (PN) disaran memberikan solusi jelas dalam konsensus nasional cadangan Ketua Pembangkang Dato Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini berkenaan isu membabitkan kaum dan agama, kata penganalisis.
Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan, idea konsensus nasional bukan baharu dan pernah dibangkitkan sebelum ini dan Hamzah perlu menjelaskan dalam konteks agama dan perkauman yang sensitif di negara ini.
“Apa yang yang disuarakan berdasarkan teks dialog itu semua benda yang baik, biasa semua rakyat akan terima tetapi tak pasti penerimaan kaum-kaum lain, (yang) ditonjolkan itu tak jelas. Dari mana mereka nak dapat konsensus tersebut.
“Sikit dihujahkan masalah agama. Ia sensitif, ia benda boleh meletup di Malaysia. Apa kaedah PN nak atasi isu agama dan perkauman, itu kena dibincangkan,” katanya.
Ini kerana, menurutnya perkataan konsensus itu bermakna hampir tiada yang tidak bersetuju dalam sesuatu perkara.
“Konsensus ini permuafakatan, digunakan dalam konteks hampir hampir tidak ada yang tidak bersetuju.
“Idea national consensus bukan baru tapi untuk sampai idea permuafakatan, mesti ada wakil setiap segmen masyarakat bersetuju, masyarakat ada banyak kelas berlainan, pentadbir, pekerja awam, pekerja pertanian dan sudut agama pun, di Malaysia ada banyak,” tambahnya, kepada politiko.my.
Menurut beliau, pengkaji politik Malaysia juga sedia maklum di negara ini, tidak boleh lari dari aspek kaum dan agama.
“Siapa kaji politik Malaysia, akan sedar, sudut apa pun aspek agama dan kaum kita akan jumpa dalam kajian. Ini tidak diberikan highlight (dalam ucapan Hamzah),” jelasnya lagi.
Baru-baru ini, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato Seri Hamzah Zainuddin telah memberi syarahan di forum ISEAS Yusof Ishak Institute.
Dalam ucapan bertajuk “Pandangan terhadap Landskap Politik Malaysia – Membina Konsensus Baharu”, Hamzah menegaskan yang PN sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat berdasarkan fakta dan kebenaran. @politiko.my