Sultan Selangor Syukur LRT3 Siap Selepas Melalui Pelbagai Perubahan

SHAH ALAM | 1 Julai 26 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kesyukuran apabila projek Laluan LRT3 Shah Alam akhirnya siap dan mula beroperasi untuk kegunaan rakyat selepas melalui pelbagai perubahan sejak peringkat awal perancangannya.

Baginda bertitah projek berkenaan merupakan hasil kesinambungan beberapa pentadbiran negara, bermula ketika ia dicadangkan dan diluluskan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang pada ketika itu menerima cadangan pembinaan laluan rel bagi menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menurut baginda, projek tersebut kemudiannya mengalami perubahan skop termasuk pengecilan saiz stesen, pengurangan jumlah gerabak serta pembatalan beberapa stesen ketika berada di bawah pentadbiran Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui oleh Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Pua atas pertimbangan kos.

Sultan Selangor seterusnya bertitah bahawa selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 diteruskan semula di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan beberapa komponen projek dipulihkan semula termasuk pengembalian sebahagian stesen yang sebelum ini dibatalkan serta penambahbaikan perancangan kemudahan untuk rakyat.

Baginda bertitah pembukaan LRT3 diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya di Klang, Shah Alam dan kawasan sekitar yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Sultan Selangor turut menzahirkan harapan agar pihak Prasarana Malaysia Berhad dapat memastikan operasi dan penyelenggaraan laluan LRT3 dilaksanakan dengan baik bagi menjamin kelancaran perkhidmatan kepada pengguna.

Dalam titah sama, baginda menegaskan bahawa projek LRT3 bukanlah projek kemegahan, sebaliknya dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya dalam menangani isu kesesakan jalan raya yang berpanjangan di Lembah Klang.

Baginda turut mengingatkan agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 sebagai usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya ia merupakan hasil kesinambungan perancangan dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran negara demi kepentingan rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

NGO Seru Turun Himpunan Bantah PSB

"Kita tidak sama sekali menolak pembangunan namun akta yang ingin diperkenalkan dan ingin diluluskan ini sangat-sangat longgar, ada kelompangan, ketirisan, kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki, diperbetulkan dan ditambahbaik.
Read More
Total
0
Share