
SEREMBAN | 20 Julai 26 – Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) bersifat “toksik” sebagai tidak benar, sambil mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak melupakan sejarah pembentukan gabungan itu dan sokongan yang diterimanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Hamzah berkata, idea penubuhan Perikatan Nasional bukan datang daripada seorang individu, sebaliknya hasil perbincangan bersama beberapa pemimpin ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Nama Perikatan Nasional itu sebenarnya datang daripada saya dan dua orang lagi sahabat saya ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ketika itu kita mahu melihat satu gabungan yang mampu menentukan masa depan negara yang lebih baik,” katanya pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.
Menurut beliau, perubahan landskap politik selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir menyaksikan pemimpin-pemimpin ketika itu bersetuju memberi peluang kepada Muhyiddin untuk menerajui kerajaan.
“Kita akhirnya bersetuju memberikan peluang kepada Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Jadi macam mana dia boleh kata PN itu toksik?” katanya.
Hamzah turut menegaskan bahawa Muhyiddin tidak mungkin dapat membentuk kerajaan ketika itu tanpa sokongan daripada PAS dan UMNO.
“Tanpa PAS, Tan Sri Muhyiddin tidak boleh menjadi Perdana Menteri. Tanpa UMNO, Tan Sri Muhyiddin juga tidak boleh menjadi Perdana Menteri. Janganlah menuduh orang toksik dan sebagainya. Kita kena ingat sejarah bagaimana parti-parti lain membantu sehingga kita boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, beliau sendiri memilih untuk tidak menyerang mana-mana pihak kerana keutamaan ketika ini adalah membina kerjasama politik yang lebih kukuh bagi menawarkan alternatif kepada kerajaan sedia ada.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa atau mengata sesiapa. Yang penting ialah kepentingan yang lebih besar untuk mengembalikan kerajaan di bawah satu kumpulan yang lebih kuat.
“Cuba kita lihat hari ini, kalau kumpulan itu dapat bergabung bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga di negeri-negeri lain, kita boleh mengambil alih kerajaan tanpa budaya tuduh-menuduh antara satu sama lain,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah menegaskan dakwaan bahawa PN bersifat “toksik” adalah tuduhan yang tidak berasas.
“Kalaupun dia kata toksik, pada saya itu adalah sesuatu tuduhan yang tidak benar sama sekali,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mendakwa PN telah menjadi “toksik” dan terpesong daripada perjuangan asal di bawah pimpinan PAS. Beliau turut mendakwa kepimpinan PAS membuat tuduhan tidak benar serta meminggirkan BERSATU dalam proses membuat keputusan, termasuk berkaitan rundingan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.