
KUALA LUMPUR | 1 Julai 26 – Presiden GERAKAN, Dr. Dominic Lau Hoe Chai, mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan denda trafik dengan menyifatkannya sebagai pendekatan mudah yang tidak menyelesaikan punca sebenar masalah keselamatan jalan raya.
Beliau berkata, peningkatan denda semata-mata tidak akan mengubah budaya pemanduan sekiranya aspek pendidikan, penguatkuasaan dan infrastruktur jalan raya masih tidak diperkukuh secara menyeluruh.
Dalam satu sesi kolokium akademik baru-baru ini, beliau berkata beliau menerima soalan daripada peserta berkaitan kenaikan denda trafik serta pendekatan kerajaan dalam menangani isu keselamatan jalan raya.
Menurutnya, walaupun sesi tersebut bersifat akademik, ia mencerminkan keprihatinan orang ramai terhadap dasar semasa dan kesannya kepada kehidupan harian rakyat.
“Saya berasa gembira kerana para peserta mengambil berat tentang perkara ini. Hal ini menunjukkan mereka bukan sahaja menyelidik tetapi juga memerhatikan apa yang berlaku di negara ini,” katanya.
Dominic berkata, isu keselamatan jalan raya tidak boleh diselesaikan hanya melalui kenaikan denda kerana perubahan budaya pemanduan memerlukan pendidikan yang konsisten, penguatkuasaan yang tegas serta infrastruktur yang lebih baik.
“Mengenakan denda adalah langkah paling mudah. Mendidik rakyat adalah yang paling sukar. Denda meningkat, tetapi jalan raya tetap sama,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan pendekatan tersebut sekiranya penguatkuasaan tidak konsisten, infrastruktur diabaikan secara berpanjangan dan pendidikan pemandu hanya dilaksanakan secara formaliti.
Menurutnya, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, sebarang kenaikan denda akan menambah beban kepada rakyat.
“Dalam dunia hari ini, di mana orang ramai sudah dibebani oleh kos sara hidup yang tinggi… langkah pertama kerajaan adalah menaikkan denda, menyebabkan kos menjadi lebih tinggi dan lebih membebankan,” katanya.
Dominic turut menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam pendidikan keselamatan jalan raya, penambahbaikan infrastruktur serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
“Rakyat bukanlah ATM kerajaan. Rakyat sanggup bekerjasama dengan dasar yang menjadikan jalan raya lebih selamat, tetapi hanya jika kerajaan terlebih dahulu menjalankan tugasnya dengan betul,” katanya.
Terdahulu, Kadar kompaun maksimum bagi lebih 700 kesalahan jalan raya dijangka meningkat kepada RM500 sekiranya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan Parlimen.
Kementerian Pengangkutan dijangka membentangkan syor kenaikan kadar baharu itu pada bacaan pertama RUU berkenaan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.