
MUAR | 2 Julai 26 – Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ustaz Muhammad Amin Sailan mengajak pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dengan menyifatkan mengundi sebagai satu kewajipan bagi umat Islam.
Beliau berkata, setiap undi akan menentukan hala tuju negeri dan negara, justeru rakyat tidak seharusnya mengambil mudah tanggungjawab tersebut.
“Saya mengajak seluruh warga DUN Sungai Balang tidak kira berapa juga usianya, daripada apa jenis bangsa pun, sama-samalah kita turun mengundi kerana satu undi kita akan menentukan apa yang kita akan dapat selepas daripada ini.
“Dan juga bagi yang beragama Islam, undi itu adalah fardu ain kepada anda. Sama juga seperti mana anda wajib solat, anda wajib juga untuk mengeluarkan undi anda. Walaupun undi adalah rahsia, tapi itu adalah hubungannya antara anda dan juga Allah SWT,” katanya kepada politiko.
Mengulas usaha menarik sokongan golongan muda, Muhammad Amin berkata, kempen PAS akan memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih dekat dengan pengundi berusia bawah 40 tahun bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan mengundi.
“Kita akan usahakan mendekati seluruh saluran pengundi muda… di bawah usia 40 tahun kita akan cuba dekati, insya-Allah, untuk memberikan kepada mereka maklumat-maklumat tentang pilihan raya.
“Kita akan berikan kepada mereka apa sebenarnya kepentingan untuk mereka melibatkan diri dalam mengundi… satu undi mereka itu adalah menentukan negeri ataupun negara yang mereka duduk hari ini,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang empat hari pertama tempoh berkempen, PAS turut menerima maklum balas yang positif daripada masyarakat di Sungai Balang.
“Sepanjang tempoh berkempen selama kurang lebih empat hari ini… kita dah masuk banyak tempat dan rata-rata maklum balas yang diberikan kepada kita itu boleh dikatakan kebanyakannya positif,” katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan DUN Sungai Balang menjadi antara kerusi yang mendapat perhatian apabila PAS mempertaruhkan Muhammad Amin sebagai calon muda bagi membawa suara generasi baharu di kawasan itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.