
DUNGUN | 2 Sep 26 – Parti Wawasan Negara Bahagian Dungun akan memberi tumpuan kepada usaha mendekati masyarakat setempat, khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar, sebagai sebahagian strategi memperkukuhkan akar umbi parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
Penyelaras Wawasan Negara Negeri Terengganu, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, pendekatan turun padang dan mendengar sendiri pandangan masyarakat menjadi antara fokus utama selepas beliau diberikan kepercayaan menerajui Bahagian Penaja Dungun.
Beliau berkata, selain memperkenalkan perjuangan Wawasan Negara kepada masyarakat, sasaran utama di peringkat bahagian adalah memenuhi hasrat Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, untuk memperkemaskan jentera parti dengan sekurang-kurangnya 1,000 ahli menjelang PRU akan datang.
“Alhamdulillah atas kepercayaan Presiden, DS Hamzah Zainudin melantik saya sebagai KB Penaja Bahagian Dungun. Insya-Allah saya akan memberikan komitmen dan menjalankan amanah yang telah diberikan ini dengan baik,” katanya kepada Politiko.
Menurut Abdul Aziz, pelantikan tersebut membawa tanggungjawab besar, khususnya dalam memastikan Wawasan Negara dikenali masyarakat setempat dan rakyat memahami perkara yang diperjuangkan parti.
“Matlamat saya di peringkat bahagian adalah untuk memastikan Parti Wawasan Negara ini dikenali dan rakyat setempat faham akan apa yang diperjuangkan oleh Wawasan Negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Wawasan Negara Bahagian Dungun merancang untuk memperbanyakkan program bersama masyarakat sebagai medium mendekati rakyat secara langsung.
Katanya, antara pendekatan yang telah dilaksanakan ialah pemberian Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
“Wawasan Negara Bahagian Dungun merancang untuk mendekati masyarakat setempat dengan mengadakan program-program. Sebagai contoh, baru-baru ini Wawasan Negara Bahagian Dungun ada buat pemberian Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat,” katanya.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, golongan muda terutama pengundi atas pagar akan diberikan perhatian khusus bagi membolehkan parti mendengar pandangan, idea serta keluhan mereka.
“Selain itu juga kita akan mengadakan pendekatan bersama anak muda terutama sekali golongan atas pagar untuk mendengar apa pandangan dan idea serta keluhan daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata, Wawasan Negara Dungun turut merancang menggerakkan program khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha membina hubungan lebih dekat dengan komuniti.
Menurutnya, semua perancangan tersebut memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Semua perancangan ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pihak. Teruskan bersama dalam memastikan falsafah Wawasan Negara dapat dicapai dengan jayanya. Insya-Allah,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.