Samsuri: Kemenangan PAS Bukan Sekadar Politik, Tapi Amanah Dihadapan Allah

Foto – facebook Dr Sam

KUALA LUMPUR | 3 Julai 26 – Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan seluruh jentera parti bahawa perjuangan PAS bukan sekadar untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, sebaliknya merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Beliau berkata, sejak penubuhan PAS pada 1951 dan kemenangan pertama parti itu dalam Pilihan Raya Persekutuan 1955 di kerusi Parlimen Krian, PAS tidak pernah meninggalkan medan perjuangan walaupun berdepan pelbagai cabaran politik.

“Kita tidak pernah berundur daripada medan perjuangan. Parti lawan silih berganti. Ada yang datang dan pergi. Ada yang hanya mula bekerja apabila pilihan raya semakin hampir.

“Yang penting, kita tahu mengapa kita berjuang,” katanya dalam satu hantaran facebook, pagi ini.

Menurut beliau, setiap usaha, pengorbanan dan kebajikan yang dilakukan ahli parti merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Samsuri menegaskan bahawa kemenangan tidak akan dicapai hanya dengan semangat, sebaliknya memerlukan strategi yang tersusun, disiplin tinggi, pengorbanan berterusan dan gerak kerja yang konsisten.

Beliau turut mengingatkan seluruh jentera supaya mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, yang akan diselaraskan dari peringkat pusat hingga ke cawangan.

“Walau sesukar mana sekalipun untuk dilaksanakan, laksanakanlah dengan penuh amanah. Yakinlah bahawa setiap arahan telah disusun dengan teliti supaya seluruh jentera bergerak dalam satu saf, satu haluan dan satu matlamat,” katanya.

Dalam masa sama, Menteri Besar Terengganu itu berkata, selepas segala perancangan dan usaha dilaksanakan, ahli parti perlu bertawakal kepada Allah SWT tanpa terlalu mempedulikan pendekatan yang digunakan oleh parti-parti lain.

“Apa pun pendekatan parti lain, itu urusan mereka. Yang penting, kita melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh ahli PAS agar terus memperkukuhkan perpaduan, membantu antara satu sama lain dan istiqamah dalam perjuangan.

Menurutnya, jika seluruh jentera terus bersatu, berdisiplin dan istiqamah, PAS bukan sahaja berupaya mencapai kemenangan politik, malah memperoleh keredaan Allah SWT.

Dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, PAS meletakkan 11 calon di kerusi sasarannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share