
KUALA LUMPUR | 4 Julai 26 – Bekas Ahli Lembaga Pengarah Petronas, Datuk Omar Mustapha menggesa kerajaan menerbitkan formula lengkap penetapan harga bahan api setiap minggu bagi membolehkan rakyat menyemak sendiri sama ada harga yang dibayar di pam benar-benar selaras dengan formula yang digunakan.
Naib Presiden Wawasan Negara itu berkata, tuntutan tersebut bukan bertujuan menuduh kerajaan mengaut lebihan daripada pengguna, sebaliknya bagi memastikan sistem penetapan harga minyak dapat disemak secara terbuka dan meningkatkan keyakinan rakyat.
“Tugas asal sebuah Parlimen bukanlah berucap. Tugas asalnya ialah memeriksa akaun negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat, ketika mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, agar kerajaan tidak membiarkan rakyat “mensubsidi kerajaan”.
Menurut Omar, persoalan yang dibangkitkan Hamzah merupakan satu kemungkinan yang boleh diuji melalui data, bukannya satu tuduhan terhadap kerajaan.
Beliau menjelaskan, harga minyak tanpa subsidi ditentukan berdasarkan formula yang mengambil kira harga rujukan produk petroleum di pasaran pukal, kadar pertukaran mata wang dan margin yang dibenarkan. Sekiranya harga jualan di pam melebihi harga yang ditentukan melalui formula tersebut, katanya, lebihan kutipan itu sepatutnya dapat diperakaunkan secara telus.
“Rakyat hanya melihat harga akhir di papan harga. Rakyat tidak melihat kiraan di sebaliknya,” katanya.
Omar yang pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Petronas berkata, pengiraan itu bukan terlalu rumit untuk difahami, malah boleh diterbitkan kepada umum sekiranya kerajaan mewajibkannya.
Sebagai contoh, beliau berkata harga minyak mentah Brent merosot sekitar 25 peratus sepanjang Jun lalu, namun harga RON97 kekal pada RM4.35 seliter selama tiga minggu sebelum diturunkan kepada RM4.10 dan kemudian RM4.00.
Menurut beliau, keadaan itu mungkin selaras dengan mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM) yang menggunakan purata harga mingguan, namun tanpa penerbitan kiraan sebenar, tiada pihak di luar Kementerian Kewangan mampu mengesahkan sama ada harga yang ditetapkan benar-benar menepati formula.
“‘Mungkin wajar’ bukan piawaian sebuah negara moden. Piawaiannya ialah ‘boleh disemak’,” katanya.
Sehubungan itu, Omar menggesa kerajaan menerbitkan tiga dokumen utama bagi meningkatkan ketelusan sistem harga bahan api.
Dokumen pertama ialah pengiraan mingguan APM yang memaparkan harga rujukan pasaran, kadar pertukaran mata wang, margin serta komponen cukai, subsidi atau pampasan bagi setiap gred minyak.
Kedua, beliau mahu kerajaan mengeluarkan Penyata Subsidi Bahan Api bulanan yang memperincikan jumlah subsidi sebenar, sumber pembiayaan dan sama ada wujud lebihan kutipan daripada pembeli bahan api tanpa subsidi.
Ketiga, beliau menggesa kerajaan membentangkan data penggunaan kuota subsidi, termasuk jumlah pengguna yang melebihi kuota, permohonan kuota tambahan yang diluluskan serta kesan terhadap petani, pengusaha kecil, pengangkut dan penduduk luar bandar.
Menurut Omar, sekiranya ketiga-tiga dokumen itu membuktikan tiada lebihan kutipan berlaku, kerajaan akan memperoleh keyakinan rakyat. Sebaliknya, jika terdapat perbezaan, rakyat berhak mengetahui bagaimana wang tersebut diperakaunkan.
“Persoalan yang kita hadapi bukan kerajaan lawan pembangkang. Ia antara harga yang boleh disemak dengan harga yang hanya boleh diterima atas dasar percaya.
“Harga boleh disubsidi. Kepercayaan tidak,” katanya.
Baru-baru ini, ketika Mesyuarat Agung Pertama parti Wawasan Negara, Omar dilantik sebagai Naib Presiden parti tersebut. Turut dilantik sebagai Naib Presiden adalah Datuk Wan Saiful Wan Jan, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Leong Kim Soon, dan Datuk Huan Cheng Guan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.