
MELAKA | 25 Julai 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Melaka menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung satu video tular yang didakwa memaparkan penganjuran acara keagamaan agama lain di kawasan berhampiran Masjid Kampung Keling, Melaka.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Wawasan memaklumkan video yang tersebar di media sosial TikTok itu dipercayai berkaitan kejadian yang berlaku di luar pagar masjid berkenaan pada 26 Mei lalu.
Menurut parti itu, isu tersebut perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan sensitiviti agama dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekiranya tidak dijelaskan secara terbuka.
“Masjid merupakan institusi yang mulia dan suci dalam Islam. Kesucian masjid serta kawasan sekitarnya perlu dipelihara dan dihormati oleh semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Wawasan turut menegaskan keharmonian masyarakat majmuk hanya dapat dipertahankan apabila setiap agama menghormati batas, sensitiviti dan ruang ibadah agama lain.
Sehubungan itu, parti berkenaan mempersoalkan sama ada kebenaran telah diberikan untuk mengadakan acara berkenaan berhampiran kawasan masjid, sambil berpandangan bahawa perkara sedemikian tidak sewajarnya dibenarkan.
Wawasan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Kerajaan Negeri Melaka menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengemukakan penjelasan kepada orang ramai bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
Parti itu turut menyeru kerajaan negeri supaya lebih peka dalam mengurus isu yang melibatkan sensitiviti agama, selain menegaskan bahawa kenyataan tersebut bukan bertujuan mengapi-apikan sentimen agama atau kaum.
Sebaliknya, menurut Wawasan, gesaan itu dibuat bagi memastikan undang-undang dipatuhi, sensitiviti semua pihak dihormati dan pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab secara adil tanpa memilih bulu.
Wawasan berharap perkara itu dapat disiasat secara menyeluruh dan diselesaikan dengan penuh hikmah demi memelihara keamanan serta keharmonian di Negeri Melaka.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.