
KUALA LUMPUR | 7 Julai 26 – Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan penggunaan sebuah kenderaan BMW berperisai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanyalah bersifat sementara dan bukannya kenderaan rasmi baharu seperti yang didakwa di media sosial.
Penjelasan itu dibuat susulan tular satu hantaran Facebook oleh portal automotif Paul Tan Automotive News yang memaparkan kenderaan mewah berperisai jenis BMW 7 Series Protection yang digunakan Perdana Menteri sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Dalam satu kenyataan di facebook rasmi, JPM bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) memaklumkan kenderaan tersebut merupakan aset sedia ada milik BIUPA yang disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan ketua-ketua negara dan ketua-ketua kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Menurut kenyataan itu, kenderaan berkenaan memenuhi spesifikasi keselamatan antarabangsa, termasuk keupayaan menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan serta risiko keselamatan moden seperti ancaman dron.
JPM menjelaskan, penggunaan sementara kenderaan itu oleh Perdana Menteri dibuat atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas kenderaan rasmi yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
Sehubungan itu, JPM menegaskan dakwaan bahawa Perdana Menteri menerima atau menggunakan sebuah kenderaan rasmi baharu adalah tidak tepat, sebaliknya kenderaan BMW berperisai itu hanyalah digunakan buat sementara waktu bagi memastikan aspek keselamatan terus terpelihara sepanjang menjalankan tugas rasmi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.