
KUALA LUMPUR | 8 Julai 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan segera menjelaskan status terkini pindaan terhadap Arahan 23 Majlis Keselamatan Negara (MKN), khususnya yang melibatkan kebajikan, kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan golongan pendatang.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata pindaan terhadap beberapa klausa Arahan 23 telah disediakan ketika pentadbiran terdahulu dan difahamkan telah mendapat kelulusan Kabinet.
Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini tiada laporan rasmi dikeluarkan mengenai pelaksanaan atau kedudukan sebenar pindaan tersebut.
“Saya harap ada pihak kerajaan menyiarkan apa sebenarnya status mutakhir Arahan 23 Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Saifuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen anti-imigran dalam kalangan masyarakat yang disifatkannya berpotensi menjadi lebih serius jika tidak ditangani secara berhemah.
Beliau mengingatkan kerajaan supaya mengambil langkah awal bagi mengelakkan keadaan itu berkembang seperti yang berlaku di beberapa negara lain, termasuk Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri hadir ke Dewan Rakyat untuk memberikan penjelasan rasmi melalui satu ministerial statement berhubung isu berkenaan.
Menurut beliau, penjelasan itu penting bagi menerangkan kedudukan sebenar pendatang di Malaysia, termasuk jumlah mereka, keadaan semasa serta langkah-langkah yang sedang diambil kerajaan.
Pada masa sama, Saifuddin berkata ahli-ahli Parlimen juga perlu diberi maklumat yang jelas supaya mereka dapat memainkan peranan membantu kerajaan menangani isu berkaitan migrasi secara lebih berkesan.
Beliau menegaskan ketelusan kerajaan dalam menjelaskan dasar dan pelaksanaan Arahan 23 MKN akan membantu meredakan kebimbangan rakyat serta mengelakkan penyebaran persepsi negatif terhadap golongan pendatang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.