Pemuda PAS Selangor Dakwa PMX Hipokrit Isu Rumah Mahal, Gesa Selesai Masalah di Selangor Dahulu

SHAH ALAM | 8 Julai 26 – Pemuda PAS Selangor menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya “bercermin diri” dan menyelesaikan terlebih dahulu isu harga rumah serta kelewatan penyediaan rumah mampu milik di Selangor sebelum mengkritik kerajaan Johor berhubung isu sama.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, berkata dakwaan Perdana Menteri bahawa harga rumah di Johor mahal berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak rumah mampu milik disifatkan sebagai bersifat hipokrit dan mengamalkan layanan dua darjat.

“Pemuda PAS Selangor amat hairan dengan sifat hipokrasi yang menebal dan layanan dua darjat oleh PMX ketika mendakwa harga rumah di Johor mahal dan masalah ini berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri Johor menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata isu sama turut berlaku di Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (PH), malah data terkini menunjukkan negeri itu berdepan masalah lambakan kediaman yang tidak terjual.

Menurutnya, data National Property Information Centre (NAPIC) bagi suku pertama 2026 merekodkan Selangor antara negeri tertinggi di Malaysia dengan 3,745 unit kediaman siap dibina tetapi gagal dijual.

Muhammad Faizzuddin turut memetik statistik rasmi Dewan Negeri Selangor yang menunjukkan sehingga 31 Januari 2025 sebanyak 254,602 unit Rumah Selangorku telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), namun majoritinya masih belum siap.

“Sebanyak 186,231 unit masih di peringkat perancangan dan kelulusan teknikal. Ini bermakna 73.15 peratus rumah mampu milik yang dijanjikan masih sekadar di atas kertas dan belum mula dibina,” katanya.

Beliau berkata hanya 42,779 unit atau 16.8 peratus telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pembeli, manakala 25,592 unit lagi masih dalam pembinaan.

Katanya lagi, laporan tahunan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menunjukkan 55 peratus pemohon rumah mampu milik di Selangor terdiri daripada golongan berumur 18 hingga 29 tahun, sekali gus menggambarkan kesukaran anak muda memiliki kediaman sendiri.

“Ribuan anak muda Selangor terpaksa menyewa dan berputus asa untuk memiliki kediaman sendiri akibat harga pasaran terbuka yang melambung tinggi, sedangkan Kerajaan Negeri Selangor hanya mampu menyiapkan sekitar 17 peratus daripada Rumah Mampu Milik yang dijanjikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri memberi tumpuan kepada penyelesaian isu perumahan di Selangor sebelum menjadikan isu tersebut sebagai modal politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar PMX cermin diri sendiri dan selesaikan isu kritikal ini melalui PH di Selangor sebelum memasang cita-cita untuk menawan Johor dalam PRN kali ini. Selangor adalah fakta dan bukti nyata PH gagal menyelesaikan isu harga rumah yang tinggi dan isu rumah mampu milik,” katanya.

Semasa kempen PRN Johor baru-baru ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendakwa harga rumah yang mahal di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share