
KUALA LUMPUR | 12 Sep 26 – Keresahan yang muncul dalam kalangan orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak semestinya berpunca daripada sentimen perkauman atau politik identiti, sebaliknya boleh dilihat sebagai manifestasi persoalan kelas ekonomi.
Aktivis politik, Hishamudin Rais berkata, apa yang berlaku perlu dilihat daripada perspektif lebih luas kerana keresahan masyarakat Melayu tidak boleh secara mudah dilabel sebagai rasisme hanya berdasarkan garis kaum.
“Untuk saya, ini bukan rasis. Ini bukan identiti. Saya mengambil satu langkah lagi, ini adalah tentang kelas,” katanya dalam podcast Politikopi membincangkan ‘Hala Tuju Politik Malaysia’, baru-baru ini.
Menurut beliau, keresahan tersebut berkait rapat dengan kedudukan ekonomi masyarakat Melayu yang dilihat masih berdepan masalah kemiskinan dan ketidakseimbangan pemilikan ekonomi.
Beliau berkata, persepsi itu menjadi lebih ketara apabila orang Melayu melihat perkembangan ekonomi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, termasuk pemilikan premis perniagaan yang pada pandangan mereka lebih banyak dikuasai oleh kaum Cina.
“Mereka Melayu, tetapi mereka Melayu miskin. Jadi kelas. Jadi saya melihat ini dalam bentuk kelas,” katanya.
Hishamudin turut mengaitkan persoalan tersebut dengan isu identiti, sejarah dan perubahan nama tempat yang menurutnya boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Beliau berpandangan, perubahan atau pengalihan nama yang mempunyai kaitan dengan sejarah sesuatu kawasan tidak seharusnya dilihat sebagai perkara kecil kerana ia boleh mempengaruhi pemahaman masyarakat terhadap sejarah dan identiti mereka.
Dalam pada itu, Hishamudin turut menolak tafsiran bahawa tragedi 13 Mei 1969 semata-mata merupakan konflik perkauman.
Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai konflik antara kelompok miskin dengan kelompok kaya yang pada ketika itu kebetulan mempunyai garis pemisah kaum yang kuat.
“Saya mentafsirkan Mei 13 itu bukan perkauman. Mei 13 itu adalah isu kelas. Kelas orang miskin melawan kelas orang kaya,” katanya.
Menurut beliau, keadaan ekonomi pada ketika itu menyebabkan konflik kelas mudah ditafsirkan sebagai konflik antara kaum kerana terdapat kaitan rapat antara kedudukan ekonomi dengan struktur masyarakat mengikut kaum.
“Tidak. Orang Melayu tidak rasis,” katanya.
Pandangan tersebut sekali gus mencabar pendekatan yang melihat keresahan politik orang Melayu semata-mata melalui lensa rasisme atau politik identiti, sebaliknya mengangkat persoalan ekonomi dan jurang kelas sebagai antara faktor yang turut membentuk sentimen politik masyarakat. @politik.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.