
SEREMBAN | 10 Julai 26 – Penggerak Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) mendakwa BERSATU kini berdepan krisis organisasi yang serius sehingga Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti didakwa gagal memenuhi korum untuk bermesyuarat.
Menurut beliau, gelombang peletakan jawatan beberapa Ahli MPT termasuk Menteri Besar Perlis dan beberapa pemimpin pusat bukan lagi isu individu, sebaliknya membuktikan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mengurus parti.
“Dulu sibuk pecat orang sana sini. Hari ini parti sendiri gagal dijaga. Ini akibat kepimpinan yang sombong dan angkuh,” katanya.
Chegubard turut mendakwa mesyuarat MPT sebelum ini terpaksa memujuk beberapa ahli menyertai mesyuarat secara dalam talian semata-mata untuk mencukupkan korum.
Malah, katanya, selepas empat Ahli MPT meletakkan jawatan, keadaan menjadi lebih kritikal sehingga MPT BERSATU didakwa tidak lagi mempunyai korum untuk mengadakan mesyuarat.
“Dengan rekod yang saya ada, empat Ahli MPT telah meletakkan jawatan. Kalau nak panggil mesyuarat pun sudah tak cukup korum,” dakwanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) campur tangan dengan mengambil alih pentadbiran parti dan mengarahkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi memilih kepimpinan baharu.
Chegubard turut menolak dakwaan bahawa krisis itu berpunca daripada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sebaliknya, beliau berkata, ramai pemimpin yang dilihat rapat dengan Hamzah telah pun meninggalkan BERSATU, manakala punca sebenar adalah cara parti itu dikendalikan di bawah kepimpinan Muhyiddin.
“Orang akan salahkan Hamzah, tetapi orang-orang Hamzah pun sudah keluar. Masalahnya bukan Hamzah. Masalahnya kepimpinan parti itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, BERSATU kini semakin hilang relevan apabila ramai pemimpin memilih meninggalkan parti sama ada menyertai UMNO, PKR atau wadah politik lain, sekali gus menjadikan parti itu paling bermasalah dalam blok pembangkang ketika ini.
Semalam, media melaporkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datin Marzita Mansor dan ADUN Bayu, Mohd Taufik Yaacob juga dilaporkan meletakkan jawatan sebagai MPT BERSATU.
Sementara itu, Senator Azahar Hassan yang merupakan satu-satunya Senator dari BERSATU, yang juga Setiausaha BERSATU Perlis, mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.