
KUALA LUMPUR, 8 DIS 25 — PAS mengambil pendekatan lebih lunak sehari selepas MCA menyifatkan parti itu antara faktor utama keputusan mereka tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata PAS sentiasa terbuka untuk mengadakan dialog dengan mana-mana pihak, termasuk MCA, bagi menjernihkan “kekeliruan” mengenai dasar parti itu.
“Apa juga pandangan terhadap PAS wajar dijernihkan melalui dialog terbuka, bukan persepsi yang tidak lengkap,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ahmad Fadhli mengulas ucapan dasar Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong, pada perhimpunan agung parti itu semalam yang menyentuh pendirian PAS sebagai faktor kegusaran MCA.
Menurutnya, MCA pernah bekerjasama rapat dengan PAS ketika berada dalam kerajaan PN sebelum ini, tanpa sebarang konflik besar.
“Pengalaman pentadbiran bersama sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa PAS bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama. Jika kekeliruan masih wujud, pintu PAS sentiasa terbuka untuk dialog,” katanya.
Sikap diplomasi turut disuarakan Senator PAS Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang menegaskan kedua-dua parti sebenarnya mempunyai satu titik persamaan.
“MCA sangsi PAS kerana ekstrem. PAS tolak kerjasama parti ekstrem. Sama-sama tolak ekstremisme. Penyelesaian, banyakkan temu bincang,” katanya ringkas.
Semalam, Malaysiakini melaporkan MCA mungkin memilih haluan sendiri pada PRU akan datang sekiranya BN terus kekal bekerjasama dengan PH. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.