Khaliq Mehtab: Tafsiran Kuorum MPT Tidak Boleh Dibuat Sesuka Hati

KUALA LUMPUR | 11 Julai 26 – Mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Khaliq Mehtab mempertikaikan kenyataan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung syarat kuorum mesyuarat MPT, dengan menegaskan Perlembagaan parti tidak boleh ditafsir mengikut keadaan semasa atau kepentingan tertentu.

Beliau berkata, setiap parti politik terikat kepada Perlembagaannya sendiri dan sebarang tafsiran mengenai kuorum perlu dibuat berdasarkan peruntukan yang telah ditetapkan, bukannya mengikut bilangan ahli yang masih tinggal dalam MPT.

“Jangan tafsirkan Perlembagaan ikut kesenangan kita ataupun apabila kita tersepit. Kita tidak boleh pandai-pandai tafsir Perlembagaan parti untuk memberi kelebihan kepada mana-mana pihak,” katanya kepada politiko.

Bagi menyokong hujahnya, Khaliq yang juga seorang pengamal undang-undang menjelaskan Perlembagaan BERSATU menetapkan komposisi MPT yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Srikandi, Ketua Armada, Ketua Srikandi Muda, 20 Ahli MPT, Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Ketua Penerangan.

Menurut beliau, komposisi itu menjadikan jumlah keseluruhan keanggotaan MPT seramai 49 orang, sekali gus menjadi asas kepada pengiraan kuorum mesyuarat.

“Dalam setiap organisasi atau parti politik, kita terikat dengan Perlembagaan parti. Kalau Perlembagaan menetapkan komposisi MPT seramai 49 orang, maka kuorum juga hendaklah berpandukan jumlah itu. Kita tidak boleh mengubah tafsiran hanya kerana bilangan ahli yang masih tinggal telah berkurangan,” katanya.

Khaliq berkata, menerima tafsiran bahawa kuorum boleh dikira berdasarkan jumlah ahli semasa akan mewujudkan satu keadaan yang tidak munasabah.

“Kalau tinggal sembilan orang dalam MPT, adakah lima orang pun sudah boleh bersidang? Itu tidak masuk akal. Tafsiran seperti itu akan menyebabkan kuorum berubah-ubah mengikut keadaan semasa, sedangkan Perlembagaan tidak boleh ditafsir sesuka hati,” katanya.

Beliau turut mendakwa kemerosotan jumlah anggota MPT mencerminkan krisis dalaman yang sedang dihadapi BERSATU, selain menyifatkan tindakan mentafsir Perlembagaan mengikut situasi semasa sebagai bertentangan dengan prinsip tadbir urus parti.

Terdahulu, Radzi dilaporkan berkata jumlah Ahli MPT BERSATU ketika ini ialah 23 orang dan syarat kuorum mesyuarat ialah separuh daripada jumlah tersebut, iaitu 12 orang.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan mengenai kesahan mesyuarat MPT susulan pengurangan bilangan anggota pimpinan tertinggi parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share