Ketua Armada Bahagian Seremban Letak Jawatan, Umum Keluar BERSATU

SEREMBAN | 13 Julai 26 – Ketua Armada Bahagian Seremban, Alif Asyraf Azman mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), selain mengesahkan keluar daripada keahlian parti berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 13 Julai 2026 yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam surat berkenaan, Alif memaklumkan beliau melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua Armada Negeri Sembilan, Ketua Armada Bahagian Seremban dan Ketua Cawangan.

“Saya Alif Asyraf Bin Azman… dengan ini mengemukakan peletakan jawatan saya sebagai Naib Ketua Armada Negeri Sembilan, Ketua Armada Bahagian Seremban dan Ketua Cawangan berkuat kuasa pada hari ini Isnin 13 Julai 2026,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa keputusan itu disusuli dengan tindakan keluar daripada parti pada tarikh yang sama.

“Seiring dengan peletakan jawatan tersebut, saya juga ingin memaklumkan bahawa saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” menurut surat itu.

Bagaimanapun, surat tersebut tidak memperincikan sebab beliau mengambil keputusan meninggalkan parti.

Sebaliknya, Alif hanya menyatakan keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti serta merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli-ahli parti yang pernah memberikan kerjasama sepanjang beliau memegang pelbagai jawatan.

“Keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkannya dengan teliti. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli bahagian, serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepada saya sepanjang tempoh saya memegang amanah.

“Saya mendoakan agar parti terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Peletakan jawatan Alif berlaku ketika BERSATU berdepan pergolakan dalaman susulan beberapa peletakan jawatan pemimpin parti sejak kebelakangan ini, selain kekalahan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan gabungan itu gagal memenangi sebarang kerusi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share