Beri Hak Milikan Kekal Tanah Kg Baru Cina – Gerakan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 25 – Gerakan menggesa kerajaan memberi hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baru Cina, selaras dengan semangat dasar Madani yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah tersebut bukan sahaja mampu memulihkan keadilan kepada komuniti yang telah sekian lama menetap di situ, malah akan memberi kesan positif terhadap nilai hartanah dan hasil cukai negara.

“Pemberian hak milik kekal ini akan meningkatkan nilai hartanah mereka, dan seterusnya menyumbang kepada hasil cukai kerajaan secara signifikan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menyambut baik komitmen kerajaan dalam memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun menegaskan pelan tersebut seharusnya dilengkapi dengan pemberian hak milik kekal sebagai satu bentuk keadilan sosial yang sebenar.

Menurut beliau, isu ini sememangnya melibatkan kekangan dari sudut undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara, namun sekiranya kerajaan benar-benar serius dalam membentuk pentadbiran yang inklusif, perkara ini wajar dipertimbangkan secara menyeluruh.

“Jika perdana menteri mahu membentuk sebuah kerajaan inklusif seperti yang dicanangkan, maka inilah masanya untuk membuktikannya melalui tindakan konkrit,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Dominic turut mengingatkan hal ehwal Kampung Baru kini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diketuai oleh Nga Kor Ming.

Beliau turut mengimbas kembali bagaimana Nga sendiri suatu ketika dahulu, ketika menjadi pembangkang, begitu lantang memperjuangkan isu hak milik kekal untuk Kampung Baru.

“Saya masih ingat sewaktu beliau membawa isu ini ke hadapan, beliau menyatakan dasar ini hanya membawa manfaat kepada negara tanpa sebarang kemudaratan. Ia bukan cadangan kosong, tetapi hasil kajian dan pertimbangan yang mendalam,” katanya.

Tambahnya, warga emas di Kampung Baru yang pernah dipaksa berpindah semasa Darurat 1948 masih belum menerima keadilan sepenuhnya, dan kerajaan wajar mengambil tindakan berani demi memperbetulkan sejarah.

Gerakan, berharap Nga akan menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk membuktikan keikhlasan dan keberanian seperti yang pernah beliau laungkan suatu ketika dahulu.

“Sekarang masanya untuk beliau membuktikan komitmen dan prestasi,” ujar Dominic. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share