
KUALA LUMPUR | 13 Julai 26 – Perpecahan dalaman Perikatan Nasional (PN), khususnya membabitkan hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) dan PAS, dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, perkembangan politik dalam PN sejak kebelakangan ini menyebabkan keputusan PRN Johor sebenarnya sudah boleh dijangka.
“Apabila perpecahan dalaman berlaku, terutamanya di antara BERSATU dengan Wawasan yang dipimpin Hamzah Zainuddin, serta PAS yang dilihat lebih menyebelahi Wawasan berbanding Bersatu, maka apa yang dilihat daripada keputusan PRN Johor sebenarnya sudah boleh dijangkakan,” katanya kepada politiko.
Menurut beliau, perpecahan dalam organisasi gabungan itu menyebabkan PN gagal meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada.
“Jika organisasi dalaman Perikatan Nasional (PN) sendiri berpecah, dan calon-calon yang ditampilkan pula datang daripada kem yang berbeza mazhab pemikiran politiknya, masakan PN dapat menonjolkan dirinya sebagai sebuah kerajaan negeri alternatif,” katanya.
Beliau berkata, persepsi bahawa PN tidak lagi mempunyai kesepaduan menyebabkan sebahagian pengundi memilih gabungan yang dilihat lebih stabil dan berpotensi membentuk kerajaan.
“Apabila persepsi sebegini berleluasa, maka undi daripada para penyokong dan pengundi yang sebelum ini bersimpati kepada PN akan lebih mudah berpindah kepada Barisan Nasional (BN)-UMNO atau Pakatan Harapan (PH), yang dilihat sebagai gabungan yang lebih mempunyai kesepakatan,” katanya.
Mengulas corak pengundian, Ahmad Fauzi berpandangan pengundi lazimnya akan memilih gabungan yang mempunyai peluang lebih cerah untuk mentadbir negeri.
“Pengundi juga mempunyai naluri untuk memastikan undi mereka tidak dibazirkan. Hakikatnya, PRN Johor pada 11 Julai lalu merupakan pertandingan dua penjuru antara BN dan PH,” katanya.
Beliau turut berpendapat kemenangan besar BN turut dipacu oleh penghijrahan sebahagian bekas penyokong PN yang melihat gabungan itu lebih berpotensi membentuk kerajaan negeri.
“Pilihan raya itu berakhir dengan kemenangan jelas BN kerana sebahagian undi bekas penyokong PN turut berhijrah kepada BN, didorong oleh keselarian ideologi nasionalisme berhaluan kanan — walaupun kita mengetahui PN sebenarnya lebih berhaluan kanan daripada BN — serta pertimbangan rasional untuk menyokong gabungan yang dilihat mempunyai potensi membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Keputusan PRN Johor menyaksikan Barisan Nasional kembali menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti besar, manakala Perikatan Nasional gagal memenangi sebarang kerusi, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan gabungan pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.